BELANJAWAN 2025 > BERITA

TCG Perkukuh Tadbir Urus Cukai Korporat, Tingkat Keyakinan Terhadap LHDN

11/06/2025 08:18 AM

KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) terus memperkukuh pematuhan percukaian dalam kalangan syarikat korporat menerusi pelaksanaan Program Tax Corporate Governance (TCG), satu inisiatif strategik yang menekankan tadbir urus cukai secara telus dan beretika.

Pengarah Seksyen Tadbir Urus Percukaian Korporat, Sektor Pematuhan Cukai LHDN, Najlah Ishak berkata program TCG dibangunkan bagi membina hubungan kerjasama jangka panjang antara pembayar cukai dan pihak berkuasa dengan tumpuan kepada pengurusan risiko percukaian yang sistematik dan berintegriti.

“TCG bertujuan memperkukuhkan sistem kawalan dalaman organisasi melalui tadbir urus percukaian yang berkesan. Ia membolehkan syarikat menjalankan perniagaan dengan lebih selamat, meminimumkan risiko audit dan seterusnya meningkatkan daya saing,” katanya dalam temu bual bersama Bernama Radio hari ini.

Beliau berkata TCG dilaksana berpandukan prinsip antarabangsa yang disarankan oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), termasuk strategi percukaian yang jelas, penetapan tanggungjawab yang tersusun, dan ujian kawalan dalaman yang berterusan bagi menilai keberkesanan sistem yang dilaksanakan.

Najlah berkata melalui pendekatan itu, organisasi digalakkan untuk membangunkan atau menambah baik rangka kerja tadbir urus percukaian mereka di samping menyampaikan laporan yang lebih telus kepada pihak berkepentingan termasuk LHDN.

“Setakat ini program TCG menyasarkan syarikat berskala besar termasuk syarikat tersenarai awam, syarikat milik kerajaan (GLC) serta syarikat berkaitan kerajaan negeri yang mencatatkan perolehan sekurang-kurangnya RM100 juta dan mempunyai tahap pematuhan cukai yang tinggi.

“Keutamaan turut diberikan kepada organisasi yang sudah membangunkan Rangka Kerja Kawalan Cukai memandangkan struktur itu penting untuk pelaksanaan TCG yang berkesan,” katanya.

Beliau berkata penyertaan adalah secara sukarela dan tiada sebarang yuran dikenakan sepanjang pelaksanaan program tersebut, organisasi yang berminat boleh menghubungi LHDN melalui e-mel di tcg@hasil.gov.my untuk pendaftaran dan maklumat lanjut.

Najlah berkata antara manfaat yang ditawarkan kepada peserta TCG termasuk pengurangan keperluan audit cukai, proses pembayaran balik cukai yang lebih pantas, pelantikan pegawai cukai khusus sebagai penghubung utama serta keutamaan dalam pertimbangan cukai tanpa penalti bagi syarikat yang patuh.

“Pelaksanaan TCG bukan sekadar memenuhi aspek kepatuhan undang-undang, malah berperanan membina keyakinan sektor korporat terhadap kecekapan dan ketelusan sistem percukaian negara.

“Melalui pelaksanaan TCG, LHDN dapat meningkatkan persefahaman dengan pembayar cukai dan menyokong usaha syarikat dalam memperkukuh pengurusan kewangan mereka secara strategik dan beretika,” katanya.

Beliau turut menggalakkan lebih banyak organisasi untuk menyertai program tersebut sebagai langkah proaktif dalam pengurusan percukaian, selaras dengan keperluan perniagaan yang semakin kompleks dan mencabar pada masa kini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan