KOTA TINGGI, 5 Jun (Bernama) -- Pengumuman Mandarin Oriental sebagai operator baharu Desaru Coast sekali gus menamatkan khabar angin yang mengatakan One&Only Desaru Coast bakal menghentikan operasinya.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata resort berkenaan tidak ditutup dan kekeliruan mengenai perkara itu timbul disebabkan salah faham semasa proses pertukaran operator.
Beliau berkata perkara itu sebahagian daripada rancangan strategik penjenamaan semula resort berkenaan yang bertujuan menambah nilai dan seterusnya meningkatkan profil pelancongan Johor di persada antarabangsa.
“Saya ada terima panggilan telefon daripada pihak istana yang bertanya apa yang sedang berlaku, kerana saya baru sahaja dilantik sebagai individu yang bertanggungjawab terhadap pelancongan untuk kawasan itu.
"Jadi, saya telah bertanya kepada Dr Nash (Pengerusi Destination Resorts and Hotels Datuk Mohamed Nasri Sallehuddin), dan Karina (Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Destination Resorts and Hotels). Ia hanya melibatkan pertukaran operator sahaja bukan ditutup,” katanya.
Onn Hafiz berkata demikian pada majlis menandatangani perjanjian pengurusan baharu dan sidang media bagi mengumumkan operator baharu di Desaru Coast di sini hari ini.
Terletak atas tanah seluas 4,000 ekar dengan pantai yang masih terpelihara, Desaru Coast dilengkapi resort bertaraf dunia, spa, padang golf, serta memiliki kekayaan warisan budaya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial