BELANJAWAN 2025 > BERITA

Johor Catat FDI RM27.4 Bilion Pada Suku Pertama 2025, Disokong Oleh Momentum JS-SEZ

05/06/2025 03:21 PM

KOTA TINGGI, 5 Jun (Bernama) -- Impak Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sudahpun mula dapat dilihat dengan Johor merekodkan RM27.4 bilion pelaburan langsung asing (FDI) pada suku pertama tahun ini.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata ini merupakan peningkatan ketara daripada RM4 bilion yang dicapai dalam tempoh yang sama tahun lepas.

"Tahun lepas, pada suku pertama 2024, kami hanya mencapai RM4 bilion FDI. Ini bermakna, jika anda bandingkan suku ke suku, terdapat peningkatan RM24 bilion hanya dalam tempoh satu tahun, dan ini hanya baru permulaan," katanya.

Beliau berkata Kerajaan Persekutuan memperuntukkan kira-kira RM5 juta untuk menaik taraf infrastruktur di kawasan SEZ, termasuk Pantai Desaru, bagi memastikan ia bertaraf dunia.

"Seperti yang anda lihat, kami telah mula melebarkan lebuh raya, termasuk Lebuhraya Utara-Selatan, dan menaik taraf Lebuhraya Senai-Desaru. Sistem Transit Rapid juga berkembang maju dan dijangka beroperasi menjelang 2027," katanya.

Onn Hafiz berkata demikian pada majlis menandatangani perjanjian pengurusan hotel baharu dan sidang akhbar bagi mengumumkan pelantikan pengendali baharu Desaru Coast, di sini, hari ini.

Majlis itu menandakan peralihan resort mewah utama Desaru Coast daripada One&Only kepada Mandarin Oriental, satu langkah yang dijangka meningkatkan daya tarikan destinasi itu kepada pelancong dari Singapura dan negara lain.

JS-SEZ merupakan inisiatif dua hala penting yang bertujuan untuk mengukuhkan integrasi ekonomi, ketersambungan dan kerjasama antara Malaysia dan Singapura, khususnya melalui Johor. Satu Memorandum Persefahaman telah ditandatangani pada Januari 2024, diikuti Perjanjian Kerjasama rasmi pada Januari 2025.

Onn Hafiz berkata bagi memastikan kejayaan SEZ, kerajaan turut memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan melalui Majlis Pembangunan Bakat Johor.

"Kami bekerjasama dengan industri perhotelan untuk memastikan kakitangan kami menerima latihan yang memenuhi piawaian industri. Apa sahaja yang kami lakukan, ia perlu membawa impak positif kepada rakyat. Daripada 1,500 pekerja di Desaru Coast, 70 peratus adalah anak jati Johor," katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan