Oleh Kenny Teng Khoon Hock
BANGKOK, 5 Jun (Bernama) -- Thailand bakal memiliki “Thailand Entertainment Complex”, sebuah kompleks hiburan ikonik yang dijangka melonjakkan ekonomi, menarik lebih ramai pelancong antarabangsa dan mengukuhkan daya saing global negara itu.
Timbalan Menteri Kewangan, Julapun Amornvivat berkata inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menjadikan Thailand sebagai destinasi utama tarikan pelancongan bertaraf dunia, seiring dengan perubahan geopolitik dan ekonomi global.
“Banyak negara telah membangunkan destinasi buatan manusia bagi menarik pelancong dan menjana pendapatan.
“Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan model kompleks hiburan ini sebagai pemangkin ekonomi baharu yang mampu menjana pendapatan sektor pelancongan serta mewujudkan industri inovatif bagi pertumbuhan ekonomi mapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Projek itu dijangka menyumbang antara 12 hingga 40 bilion baht setahun dalam bentuk hasil cukai, selain membuka ribuan peluang pekerjaan.
Julapun turut memaklumkan kerajaan telah membentangkan rang undang-undang di Dewan Perwakilan bagi menggubal rangka kerja kawal selia untuk kompleks terbabit, selepas perbincangan bersama pihak berkepentingan seperti Lembaga Perdagangan Thailand, Persekutuan Industri Thai dan pelbagai sektor perniagaan.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Setiausaha kepada Perdana Menteri, Suksit Srichomkwan berkata selain kasino, kompleks itu akan dilengkapi dewan konsert, pusat konvensyen berskala besar, taman tema, muzium, restoran bertaraf Michelin, serta kawasan hijau untuk aktiviti rekreasi.
Suksit menegaskan kasino terbabit tidak terbuka kepada semua dan tiada kaitan dengan perjudian dalam talian.
Projek itu juga dibiayai sepenuhnya oleh pelaburan swasta, tanpa melibatkan dana awam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial