KUALA LUMPUR, 4 Jun (Bernama) -- Kod etika kewartawanan kekal menjadi tunjang utama dalam menentukan kredibiliti seorang wartawan profesional, khususnya menghadapi cabaran era digital yang dipacu perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) serta kemunculan “wartawan segera”.
Ketua Inovasi Berita Pelbagai Platform Astro Awani Shafizan Johari berkata kod etika boleh diibaratkan sebagai adab yang perlu ada dalam diri setiap individu yang mahu menjadi wartawan bertauliah dan berintegriti dalam menyampaikan berita.
“Kita ini masyarakat yang bertamadun dan setiap masyarakat bertamadun pastinya mempunyai adab tersendiri. Dalam konteks kewartawanan di Malaysia, kita sendiri perlu ada rasa tanggungjawab untuk menyemai dan mengamalkan kod etika ini dalam kerjaya harian,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam tadi yang membincangkan topik “Kewartawanan Era Baharu: Pintar dan Beretika” dengan turut menampilkan Wartawan Penyiaran dan Penyampai Bernama TV Norliyana Zulkifli serta Wartawan Multimedia dan Penyampai Berita Media Prima Berhad Mas Zharif Zhafri Aziz Desa.
Shafizan berkata dalam landskap media kini, etika kewartawanan memainkan peranan lebih penting berbanding mengejar kelajuan atau menjadi yang pertama melaporkan sesuatu berita.
“Bagi organisasi media, mengejar ‘breaking news’ dianggap sesuatu yang eksklusif, namun bagi saya kelajuan semata-mata sudah tidak lagi relevan. Apa yang lebih utama adalah disiplin dalam mematuhi prinsip editorial, layer by layer atau proses demi proses untuk memastikan setiap laporan yang disampaikan adalah sahih, tepat dan komprehensif.
“Jangan tergopoh-gapah menyampaikan berita tanpa melalui proses editorial yang betul, kerana di situlah terletaknya identiti seorang wartawan (yang sebenar),” katanya.
Sementara itu Mas Zharif Zhafri berkata kefahaman mengenai kod etika kewartawanan perlu diterapkan sejak di peringkat universiti bagi melahirkan wartawan yang memahami tanggungjawab menyampaikan maklumat secara sahih dan beretika.
“Kod etika itu membezakan seorang wartawan yang benar-benar berpegang kepada etika atau sekadar citizen journalist. Kod etika kewartawanan ini pada pandangan saya perlu dibanggakan kerana kita akan memahami cara menyampaikan maklumat sahih dan tepat,” katanya.
Norliyana pula berpendapat setiap wartawan perlu tetap berpegang teguh kepada prinsip etika kewartawanan, malah beliau mencadangkan supaya kod etika kewartawan disebarkan secara lebih meluas kepada orang ramai bagi memberi kefahaman mendalam mengenai pelaporan berita yang sebenar.
“Begitu ramai mahu jadi wartawan segera atau citizen journalist, mungkin boleh dikongsikan kepada rakyat mengenai kod etika kewartawanan supaya mereka lebih faham apa itu kod etika kewartawanan, biarpun mereka pelajar komunikasi massa atau tidak,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial