BELANJAWAN 2025 > BERITA

Demokrasi Matang Tidak Wujud Tanpa Kewartawanan Bebas, Berani - Ramanan

30/05/2025 01:51 PM

KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Hari Wartawan Nasional (HAWANA) bukan sekadar satu sambutan, sebaliknya peringatan bahawa demokrasi yang matang tidak akan wujud tanpa kewartawanan yang bebas, adil dan berani, kata Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan.

Menerusi kenyataan dalam Facebooknya bersempena dengan HAWANA 2025, beliau berkata penghormatan harus diberikan kepada wartawan yang setiap hari menulis dengan nurani dan menyampaikan suara rakyat dengan penuh dedikasi serta tanggungjawab.

“Saya berdiri bukan sekadar sebagai seorang pemimpin, tetapi sebagai seorang insan yang menghargai betapa pentingnya kepercayaan untuk bersuara.

“Justeru, saya amat menghargai setiap laporan dan liputan yang media sampaikan, termasuk tentang diri saya, program berkaitan saya sejak dulu hingga sekarang,” katanya.

Ramanan yang juga Naib Presiden PKR turut menghargai peranan media yang memberikan ruang kepada beliau dan rakan-rakan untuk menyuarakan agenda reformasi.

“Tanpa anda, suara kami tidak sampai dan tanpa anda juga, suara rakyat tidak akan bergema. Teruskan menulis yang benar dan jangan gentar bersuara demi keadilan,” katanya.

HAWANA disambut pada 29 Mei setiap tahun, dengan Majlis Kemuncak Sambutan HAWANA 2025 akan diadakan pada 14 Jun ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan merasmikan sambutan berkenaan dengan anggaran kehadiran kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara.

HAWANA yang memasuki edisi kelima tahun ini selepas penganjuran kali pertama pada 2018, merupakan acara tahunan yang menghimpunkan pengamal media bagi menghargai peranan dan sumbangan mereka dalam pembangunan negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan