BELANJAWAN 2025 > BERITA

Tengku Zafrul Tidak Menang PRU, Tidak Perlu Semak Aku Janji - Mohamad

31/05/2025 05:52 PM

SEREMBAN, 31 Mei (Bernama) -- Semakan semula aku janji ditandatangani Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz semasa menjadi calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), tidak dapat dikuatkuasakan berikutan beliau tidak memenangi pilihan raya tersebut.

Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata sebaliknya Tengku Zafrul dilantik sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu, berikutan kapasiti beliau sebagai senator.

“Itu tidak termasuk dalam bidang lingkup perjanjian tersebut, kerana Tengku Zafrul tidak memenangi pilihan raya. Itu merupakan aku janji seorang wakil rakyat atau Ahli Dewan Undangan Negeri atau Ahli Parlimen (semak aku janji).

“Jika mereka menang, kerusi tersebut adalah kepunyaan parti, bukan kepunyaan individu tersebut dan individu yang menjadi calon dan menang, mereka menandatangi banyak perjanjian termasuk mengembalikan semula kos yang dikeluarkan parti dan macam-macam lagi.

“Tengku Zafrul tak menang. Dia jadi menteri atas asas dia seorang senator. Jadi saya tak nampaklah bahawa aku janji tersebut dapat dikuatkuasakan ke atas beliau,” katanya kepada pemberita selepas majlis makan tengah hari di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, yang mendesak parti mengambil tindakan tegas terhadap Tengku Zafrul yang mengumumkan meninggalkan UMNO untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat.

Mohd Puad juga meminta parti menyemak semula aku janji ditandatangani Tengku Zafrul semasa menjadi calon BN pada PRU15, termasuk kemungkinan menuntut pampasan RM100 juta sekiranya tindakan Tengku Zafrul yang tewas di kerusi Parlimen Kuala Selangor pada PRU lepas, dikira sebagai lompat parti.

Semalam, Tengku Zafrul mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli MT UMNO, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli UMNO.

Ditanya sama ada peletakan jawatan itu memberi kesan terhadap UMNO, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata Tengku Zafrul tidak memegang jawatan tinggi dalam parti dan ia tidak terlalu memberi kesan terhadap UMNO.

Dalam perkembangan lain, Mohamad yang juga Menteri Luar berkata usaha memerangi pemerdagangan manusia membabitkan rakyat di negara ini di Vietnam termasuk jenayah penipuan, sentiasa menjadi agenda utama Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan