BELANJAWAN 2025 > BERITA

Fahmi Ucap Takziah Kepada Keluarga Wartawan Veteran Fauziah Rauf

25/05/2025 11:01 AM

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga wartawan veteran Fauziah Rauf, yang meninggal dunia hari ini.

Menerusi hantaran di Facebook, Fahmi berkata pemergian Allahyarham pastinya dirasai oleh seluruh warga media yang pernah bekerjasama dengan beliau.

Beliau berkata Allahyarham merupakan penerima Tabung Kasih@HAWANA pada 2023, satu inisiatif Kementerian Komunikasi melalui Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

“Tabung Kasih@HAWANA diwujudkan sebagai lambang keprihatinan dan penghargaan, menyantuni para pengamal media yang berdepan dugaan sama ada ketika berkhidmat, setelah bersara atau dalam keuzuran.

“Semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa dan ditempatkan dalam kalangan para solihin,” katanya.

Fauziah, 81, yang juga antara pengarang wanita terawal, meninggal dunia di Hospital Selayang kira-kira 1 pagi tadi akibat pendarahan di kepala.

Allahyarham yang juga Pengasas Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) pernah menerima Anugerah Tokoh Wartawan Hiburan, sempena Majlis Anugerah Kewartawanan Industri Perfileman Malaysia (AKIFMA) anjuran Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dan FINAS pada 2017.

Selain berpengalaman lebih 20 tahun sebagai wartawan di Utusan Malaysia, Allahyarham turut menjadi perintis dan wanita pertama di negara ini yang menerbitkan akhbar seperti Mingguan Famili, Pentas Dunia dan majalah Hawa sekitar 80-an.

Allahyarham Fauziah juga antara individu yang bertanggunggjawab menjadi pengganjur bersama dengan membawa artis Malaysia ke Festival Music Voice of Asia di Kazakhstan saban tahun pada era 1990-an antaranya Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin, Ziana Zain, Erra Fazira, Anis Suraya dan kumpulan Slam. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan