BELANJAWAN 2025 > BERITA

Masters Malaysia: Pearly-Thinaah ‘Kunci’ Indonesia, Mara Ke Separuh Akhir

23/05/2025 09:12 PM

KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Beregu wanita utama negara Pearly Tan-M. Thinaah mengorak langkah untuk memburu gelaran berganda dalam tempoh seminggu selepas mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Masters Malaysia di sini hari ini.

Beregu nombor satu negara itu yang menjuarai Terbuka Thailand di Bangkok minggu lepas ‘mengunci’ pasangan Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Amallia Cahaya Pratiwi dengan kemenangan straight set 21-14, 21-14 dalam 34 minit pada saingan suku akhir di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Pearly-Thinaah dijadual bertemu ranking ketujuh dunia, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian pada aksi separuh akhir esok selepas gandingan China itu menewaskan pasangan Indonesia, Lanny Tria Mayasari-Siti Fadia Silva Ramadhanti 21-15, 15-21, 21-14.

Meskipun pada awalnya sedikit terikut rentak lawan yang berada di ranking kesembilan dunia, gandingan Pearly-Thinaah segera mengatur semula langkah dengan permainan lebih agresif untuk mengesahkan tiket ke separuh akhir.

“Saya sudah cakap selepas kita menang (Terbuka Thailand) sebelum ini bahawa setiap kejohanan akan bermula dari sifar. Bagi kami, kejuaraan itu sudah pun berlalu dan hanya mahu fokus setiap perlawanan dan berharap dapat memberikan yang terbaik esok,” kata Pearly kepada pemberita.

Kemenangan hari ini merupakan kali kelima buat pasangan negara itu menundukkan Febriana-Amallia dalam enam pertemuan iaitu statistik yang jelas memihak kepada pemenang emas Sukan Komanwel 2022. 

Di atas kertas, pertemuan ketiga dengan Yi Fan-Shu Xian dengan rekod sebelum ini terikat 1-1.

Pearly-Thinaah, selaku beregu nombor empat dunia, pernah menewaskan mereka di Terbuka India, Januari lepas apabila pasangan China itu menarik diri ketika mereka mendahului 14-4 dan pertemuan terakhir adalah di suku akhir Masters Orleans Mac lepas dengan kemenangan memihak kepada Yi Fan-Shu Xian.

Sebagai rekod, Pearly-Thinaah pernah melangkah ke final Masters Malaysia pada edisi 2023 namun hasrat untuk menjadi juara tidak kesampaian apabila tewas 20-22, 21-8, 17-21 kepada beregu Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan