KUALA LUMPUR, 4 Jun (Bernama) -- Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS) telah memacu lebih 190 penyelesaian teknologi tempatan sejak dilancarkan pada Ogos 2020, dan sehingga kini membantu 27 syarikat Malaysia mengkomersialkan produk dengan nilai jualan mencecah RM87.2 juta.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata negara tidak boleh hanya bergantung kepada import dan adaptasi, sebaliknya perlu berani mencipta serta mempunyai ruang untuk menguji dan membuktikan inovasi di medan sebenar sekiranya serius mahu menjadi negara berteknologi tinggi.
“NTIS ialah platform pemecut inovasi yang membolehkan penyelidik, syarikat pemula dan usahawan teknologi menguji idea mereka dalam persekitaran sebenar dengan sokongan peraturan yang lebih anjal.
“NTIS bukan sekadar ruang eksperimen, ia adalah ruang mempercayai potensi anak tempatan,memberi peluang untuk gagal, belajar, dan bangkit dengan penyelesaian yang lebih baik,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam ini.
Beliau berkata setiap teknologi yang diuji di bawah NTIS membawa negara selangkah lebih dekat ke arah ekosistem inovasi yang matang, iaitu tempat idea bukan sahaja dilahirkan, tetapi turut dimatangkan dan dipasarkan.
Chang berkata inisiatif tersebut merupakan antara komponen penting di bawah Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030, selain menyokong agenda Malaysia MADANI yang menekankan bahawa dalam negara berteraskan nilai, inovasi bukan sahaja melibatkan aspek teknologi, tetapi juga kepercayaan dan peluang.
“Dengan NTIS, kita buka jalan. Yang berani mencuba, kita beri ruang. Yang berjaya, kita sokong sampai ke pasaran. Dan begitulah kita bina masa depan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial