BELANJAWAN 2025 > BERITA

Malaysia, Rusia Akan Teroka Cara Lonjakkan Perdagangan, Pelaburan

13/05/2025 11:50 PM

Daripada Sharifah Hunaini Syed Ismail

MOSCOW, 13 Mei (Bernama) -- Malaysia dan Rusia akan meneroka cara untuk melonjakkan perdagangan dan pelaburan selain kelancaran transaksi yang bertujuan memperkukuh hubungan ekonomi dan kerjasama ketika lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Duta Besar Malaysia ke Rusia, Datuk Cheong Loon Lai berkata pada pandangan beliau, kedua-dua negara sangat bekerjasama dalam mencari cara untuk memudahkan kelancaran transaksi dan meningkatkan hubungan perdagangan.

“Isu pembayaran juga telah dibincangkan ketika Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat Vladivostok (untuk Forum Ekonomi Kazan) tahun lepas.

“Menariknya walaupun berdepan cabaran, perdagangan antara kedua-dua negara berada dalam aliran meningkat. Bukan sahaja dengan Malaysia malah perdagangan dan perniagaan antara Rusia dengan negara lain di ASEAN juga meningkat, termasuk cara bagaimana Rusia dan Vietnam mempunyai pertukaran perniagaan yang sangat rancak,” katanya pada sidang media sempena lawatan rasmi empat hari Perdana Menteri ke Rusia bermula hari ini.

Perdana Menteri akan bertemu Presiden Rusia Vladimir Putin dan Perdana Menteri negara itu, Mikhail Mishustin.

Anwar akan menuju ke Kazan di Republik Tatarstan pada 15 Mei untuk menghadiri Forum Ekonomi Antarabangsa Rusia-Dunia Islam ke-16 atau KazanForum 2025 yang bertemakan “Digitalization: New Reality and Additional Opportunities for Expanding Cooperation”.

Cheong berkata Moscow mempunyai banyak perkara untuk ditawarkan terutama dari segi teknologi.

“Mereka maju dalam pelbagai teknologi, dan mereka berminat untuk menawarkan kepakaran yang mereka miliki,” katanya di samping menambah bahawa kedua-dua pihak akan meneroka cara untuk bekerjasama dalam bidang itu.

Beliau berkata pendekatan pelbagai serampang Malaysia dalam menjalinkan hubungan dengan pelbagai negara adalah penting untuk mengharungi ketidaktentuan global dan membina rangka kerja perdagangan yang lebih berdaya tahan.

Cheong berkata ketika Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi melawat Rusia pada 2007, sebagai perdana menteri kelima, pendirian Malaysia adalah sesuatu yang disambut baik oleh Rusia, dengan mengambil kira geopolitik global dahulu dan sekarang.

Semasa mesyuarat peringkat tinggi antara Anwar dan Putin, para pemimpin akan menilai hubungan dua hala dan memajukan kerjasama dalam perdagangan dan pelaburan, pertanian dan komoditi pertanian, pendidikan, aeroangkasa dan tenaga.

Para pemimpin juga akan bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

Menurut kenyataan Wisma Putra, sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, Malaysia akan meneroka laluan untuk memperkukuh kerjasama dalam rangka kerja Hubungan Dialog ASEAN-Rusia.

Perdana Menteri juga akan bertemu pemimpin industri pada mesyuarat meja bulat; menyampaikan syarahan umum di Moscow State Institute of International Relations (MGIMO); dan bertemu diaspora Malaysia di Moscow.

Sementara itu di Kazan, Perdana Menteri dijadual mengadakan pertemuan dengan Rais Republik Tatarstan Rustam Minnikhanov dan menyampaikan ucaptama pada Mesyuarat Kumpulan Visi Strategik Rusia-Dunia Islam.

Kemuncak lawatan Anwar ke Kazan ialah penyertaan beliau dalam Forum Ekonomi Antarabangsa Rusia-Dunia Islam ke-16 atau KazanForum seterusnya dijemput menyampaikan ucaptama semasa sesi pleno. 

KazanForum merupakan platform utama bagi memupuk kerjasama ekonomi antara Rusia dan negara-negara Islam.

Sepanjang lawatan itu, Anwar akan diiringi oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Li Kang; Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; serta Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Pada 2024, Rusia ialah rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia dalam kalangan negara Eropah dengan jumlah dagangan mencecah RM11.46 bilion (US$2.48 bilion).

Eksport utama Malaysia ke Rusia termasuk produk elektrik dan elektronik, jentera, peralatan dan alat ganti, serta makanan yang diproses.

Menurut kenyataan itu berkata import dari Rusia terutama terdiri daripada produk petroleum, mineral serta kimia dan produk berasaskan kimia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan