BELANJAWAN 2025 > BERITA

PM Tiba Di Moscow Untuk Lawatan Rasmi Empat Hari Ke Rusia

14/05/2025 01:00 AM

Daripada Sharifah Hunaini Syed Ismail

MOSCOW, 13 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Moscow untuk lawatan rasmi empat hari bermula hari ini dengan diberi Kawalan Kehormat sebaik mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Vnukovo-2 di sini pada 6.26 petang waktu tempatan (11.26 malam waktu Malaysia).

Perdana Menteri menerima sambutan kehormatan sejurus tiba di lapangan terbang berkenaan.

Anwar adalah Perdana Menteri pertama Malaysia yang diberikan sambutan seumpama itu selepas hampir dua dekad.

Perdana Menteri kelima iaitu Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi menerima sambutan serupa semasa mengadakan lawatan rasmi ke Rusia pada tahun 2007.

Ketibaan Anwar disambut oleh Duta Besar Malaysia ke Rusia Datuk Cheong Loon Lai dan Timbalan Menteri Luar Rusia Andrey Rudenko.

Lawatan rasmi itu, yang berlangsung hingga 16 Mei, adalah atas undangan Presiden Rusia Vladimir Putin dan merangkumi kunjungan ke beberapa lokasi utama di Moscow serta Kazan, Tatarstan.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, mengetuai delegasi terdiri daripada Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Li Kang, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Program sempena lawatan itu bermula malam ini dengan Perdana Menteri menghadiri majlis ramah mesra bersama rakyat Malaysia di Rusia dan pada Rabu, beliau akan mengadakan perbincangan meja bulat bersama kira-kira 20 pemimpin industri di negara berkenaan.

Anwar dijadual mengadakan pertemuan dan mesyuarat dua hala bersama rakan sejawatnya Mikhail Mishutin serta menghadiri mesyuarat bersama Presiden Vladimir Putin.

Pada Khamis, Perdana Menteri akan menyampaikan syarahan umum di Institut Hubungan Antarabangsa Negara Moscow (MGIMO) dan dijadual menerima anugerah Ijazah Doktor Kehormat daripada universiti tersebut atas sumbangan beliau dalam menegakkan keamanan sejagat serta mengeratkan kerjasama antarabangsa.

Sementara itu di Kazan, Perdana Menteri dijadual mengadakan pertemuan dengan Rais Republik Tatarstan Rustam Minnikhanov dan menyampaikan ucaptama semasa Mesyuarat Kumpulan Visi Strategik Rusia-Dunia Islam pada Khamis.

Kemuncak lawatan Anwar ke Kazan ialah penyertaan beliau dalam Forum Ekonomi Antarabangsa Rusia-Dunia Islam ke-16: KazanForum seterusnya dijemput menyampaikan ucaptama semasa sesi pleno. 

KazanForum merupakan platform utama bagi memupuk kerjasama ekonomi antara Rusia dan negara-negara Islam.

Pada 2024, Rusia adalah rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia dalam kalangan negara Eropah dengan jumlah dagangan mencecah RM11.46 bilion (USD2.48 bilion).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan