EKONOMI > BERITA

IBM MALAYSIA BERPERANAN PENTING DALAM ASPIRASI MALAYSIA SEBAGAI HAB AEROANGKASA

10/05/2024 12:39 PM

KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- IBM Malaysia telah memainkan peranan penting dalam usaha meletakkan Malaysia sebagai hab inovasi aeroangkasa, termasuk transformasi Turkish Aerospace Malaysia (TUSAS Malaysia) di Cyberjaya yang menjadi bukti atau kisah kejayaan terbaharunya.

Malah, pencapaian itu turut diakui oleh Pengarah Urusan dan Ketua Teknologinya Dickson Woo.

“Daripada permulaan yang sederhana, TUSAS Malaysia telah berkembang menjadi hab kejuruteraan utama yang khusus dalam pelbagai projek aeroangkasa.

“Pemacu utama pertumbuhan pesatnya ialah penggunaan teknologi Pengurusan Kitaran Hayat Kejuruteraan (ELM) IBM yang meningkatkan produktiviti serta pematuhan piawaian antarabangsa yang ketat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Woo yang mengambil alih jawatan baharunya pada awal bulan ini, berkata IBM Malaysia berperanan penting dalam mempercepat pembangunan serta memastikan kebolehkesanan menyeluruh dalam projek-projek TUSAS Malaysia, sekali gus mengukuhkan reputasi Malaysia sebagai hab inovasi aeroangkasa.

“Kemajuan teknologi ini, terutama dalam sektor seperti aeroangkasa juga seiring matlamat kerajaan di bawah kerangka Ekonomi MADANI selain bertujuan mewujudkan ekonomi yang lebih berdaya tahan dan pelbagai,” katanya.

Woo turut berkongsi hasratnya untuk melaraskan operasi syarikat dengan wawasan kerajaan dari segi ketahanan teknologi serta ekonomi.

“IBM Malaysia menerusi kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan serta komuniti perniagaan tempatan, bersedia untuk menyokong kerangka ini dengan meningkatkan produktiviti dan memupuk daya tahan ekonomi di serata sektor,” katanya.

Beliau berkata IBM Malaysia juga berhasrat untuk memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran awan hibrid miliknya yang maju bagi meningkatkan kecekapan perniagaan serta daya saing di peringkat kebangsaan.

Mengulas Belanjawan 2024 yang menumpukan aspek kelestarian, Woo berkata langkah itu akan terus memacu IBM Malaysia ke arah inisiatif lestari utama agar seiring dengan matlamat negara.

Malah, atas alasan itu juga, syarikat berkenaan menyasarkan untuk memanfaatkan platform teknologinya, termasuk penyelesaian AI dan awan hibrid, bagi mentransformasi impian kepada strategi praktikal dan boleh dilaksanakan oleh kalangan perniagaan di Malaysia.

“Pelarasan strategik ini meningkatkan kecekapan perniagaan sambil menyumbang kepada persekitaran lebih sihat dan pembangunan mampan di negara ini," katanya.

IBM Malaysia juga menyasarkan untuk mengurangkan cabaran dihadapi organisasi apabila menggunapakai amalan lestari dengan menawarkan penyelesaian teknologi serba mantap untuk membolehkan integrasi kemampanan dalam proses teras perniagaan.

Ini termasuk mengatasi kekangan teknologi dan bertindak meningkatkan maklumat data demi kepentingan kebanyakan syarikat.

"Seiring usaha menumpukan AI dan teknologi awan hibrid, kami sebenarnya turut menetapkan trend industri dan memastikan IBM kekal di barisan utama dalam inovasi teknologi," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan