EKONOMI > BERITA

MIMOS, G7A JALIN KERJASAMA BINA KEUPAYAAN INTEGRASI SISTEM TEMPATAN DALAM EKOSISTEM AEROANGKASA

08/05/2024 11:57 AM

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- MIMOS Bhd dan G7 Aerospace Sdn Bhd (G7A) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU), bertujuan untuk membina Keupayaan Integrasi Sistem Tempatan dalam ekosistem aeroangkasa Malaysia.

Dalam satu kenyataan, MIMOS berkata kerjasama strategik ini menggariskan komitmen bersama untuk memperkukuh keupayaan Malaysia dalam teknologi aeroangkasa, menggalakkan kemajuan teknologi, dan memupuk aktiviti bernilai tinggi dalam sektor tersebut.

“Kolaborasi ini akan merangkumi pelbagai inisiatif termasuk penyertaan dalam program Pusat Inovasi Teknologi Industri (ITIC) yang diuruskan oleh MIMOS, projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) bersama yang tertumpu kepada inovasi bahagian avionik, pembinaan kapasiti melalui latihan dan pemindahan pengetahuan, serta projek yang disesuaikan dalam sektor elektronik dan elektrik (E&E) avionik,” katanya.

MoU ini telah ditandatangani pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024.

MIMOS berkata kerjasama itu memberikan MIMOS peluang unik untuk memacu kemajuan signifikan dalam industri aeroangkasa Malaysia dengan membolehkan aktiviti Bukti Konsep melalui program ITIC.

Katanya inisiatif ini memungkinkan MIMOS untuk menyokong pemain industri dalam menguji dan menyempurnakan teknologi mereka sebelum dikomersialkan, secara efektif mempercepat inovasi dan memendekkan masa untuk membawa produk-produk baharu ke pasaran.

Sementara itu, MIMOS berkata G7A akan memainkan peranan penting dengan memanfaatkan kepakaran mereka dalam perkhidmatan penyelenggaraan avionik, dengan itu memperkuat kemampuan huluan dan hiliran.

“Penglibatan mereka akan meningkatkan keseluruhan kualiti dan kebolehpercayaan perkhidmatan dan produk aeroangkasa di seluruh Malaysia.

“Sebagai sebahagian daripada strategi menyeluruh, G7A akan memberi tumpuan kepada pemahaman keperluan pelanggan untuk peningkatan avionik, menyediakan dokumentasi reka bentuk untuk integrasi sistem dan pensijilan keselamatan, melabur dalam perkakasan dan perisian yang diperlukan untuk prototaip, serta memasarkan solusi kepada pengguna akhir dan pelanggan yang berpotensi,” katanya.

Pendekatan holistik ini katanya bertujuan untuk membina kepakaran seluruh industri dan meletakkan Malaysia sebagai hab utama dalam industri aeroangkasa global.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan