EKONOMI > BERITA

KAJI SEMULA HAD MINIMUM DASAR TUKARAN ASING PENGEKSPORT BAGI KUKUHKAN RINGGIT - DPMM

09/05/2024 05:27 PM

PETALING JAYA, 9 Mei (Bernama) -- Kerajaan perlu mengkaji semula had minimum dalam dasar pertukaran asing bagi pengeksport yang mampu menjadi antara langkah pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS). 

Ketika berkongsi saranan itu, Felo Kanan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Azlan Awang berkata ini memandangkan nilai eksport negara yang melebihi RM100 bilion setiap bulan adalah satu jumlah besar yang sepatutnya memberi kelebihan kepada permintaan ringgit. 

Malah, jelas beliau, eksport tahunan negara berjumlah melebihi RM1.5 trilion juga menunjukkan pulangan atau resit daripada eksport termasuk perkhidmatan yang jika dimanfaatkan boleh mempengaruhi nilai ringgit serta ekonomi negara.

“Kalau keadaan ini berterusan, lama kelamaan orang (peniaga) tak perlukan ringgit. Mereka sebaliknya hanya perlu simpan dalam jumlah tertentu untuk membayar gaji pekerja...vendor dalam kitaran (rantaian bekalan) eksport juga mempunyai akaun tukaran asing.

“Keadaan sedemikian akan hanya mengurangkan lagi permintaan terhadap ringgit,” katanya kepada pemberita selepas menjadi ahli panel dalam Forum Ekonomi Kebangsaan (NEF) 2024 di sini, hari ini.

Pada 2016, pengeksport perlu bertindak menukar 75 peratus daripada hasil yang dijana kepada mata wang ringgit.

Bagaimanapun, Bank Negara Malaysia (BNM) bertindak mengumumkan liberalisasi Dasar Pertukaran Asing pada 2021 yang memberi lebih fleksibiliti kepada kalangan perniagaan. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan