EKONOMI > BERITA

SIDREC: JUMLAH TUNTUTAN, PERTANYAAN NAIK 11 PERATUS KEPADA 266 PADA 2023

08/05/2024 02:54 PM

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Pusat Penyelesaian Pertikaian Industri Sekuriti (SIDREC) menerima sejumlah 266 tuntutan dan pertanyaan pada 2023, meningkat 11 peratus daripada 239 tuntutan dan pertanyaan pada tahun sebelumnya.

Jumlah itu terdiri daripada 49 pertikaian yang layak dan 217 pertanyaan berbanding 72 pertikaian yang layak dan 167 pertanyaan pada 2022, katanya dalam laporan tahunan 2023.

“Dalam perkembangan yang signifikan, peratusan pertikaian yang difailkan oleh pihak penuntut yang menetap di luar Lembah Klang buat pertama kalinya melebihi daripada yang dibuat oleh pihak yang menuntut di Lembah Klang sejak penubuhan SIDREC (pada Disember 2010),” katanya.

Peralihan ini mungkin disebabkan, sebahagiannya adalah kerana SIDREC menumpukan kepada pengembangan aktiviti jangkauannya di luar Lembah Klang pada tahun ini, memudahkan hubungan dengan pelabur di seluruh Malaysia, katanya.

Sejak penubuhannya sehingga 2023, SIDREC menerima sejumlah 3,692 tuntutan dan pertanyaan, terdiri daripada 709 pertikaian yang layak dan 2,983 pertanyaan.

Pada 2023, majoriti pertikaian yang layak telah dilaporkan pada dua suku pertama 2023, mengekalkan momentum daripada jumlah pertikaian yang meningkat yang diterima pada suku terakhir 2022.

Daripada 49 pertikaian yang diterima tahun lepas, 30 daripadanya adalah berkaitan dengan unit-unit amanah, sembilan mengenai saham dan waran, lapan untuk produk-produk berstruktur, satu untuk bon, dan satu untuk perkhidmatan pengurusan dana.

“Pertikaian berkaitan unit-unit amanah mengalami peningkatan 25 peratus daripada 24 pertikaian pada 2022, menyebabkan pertikaian sedemikian menyumbang 61 peratus daripada jumlah pertikaian yang layak diterima pada tahun itu,” katanya.

Mengenai jenis tuntutan pula, SIDREC berkata sebanyak 40 daripada 49 pertikaian yang layak memberi tumpuan kepada isu-isu tingkah laku pasaran, enam lagi ialah berkaitan standard perkhidmatan yang berkenaan dan baki tiga lagi berhubung kait dengan amalan dan dasar ahli-ahlinya.

Daripada 40 pertikaian berkaitan tingkah laku pasaran, 34 berkaitan dengan amalan-amalan jualan, tiga untuk penipuan, penyalahgunaan atau penyelewengan, dua lagi ialah transaksi tanpa kebenaran atau ketidakpatuhan arahan, dan satu berkaitan dengan isu-isu kelakuan yang lain.

Berhubung enam pertikaian yang berkaitan dengan piawaian perkhidmatan, SIDREC berkata ia menunjukkan penurunan ketara sebanyak 74 peratus daripada 23 pertikaian yang diterima pada 2022.

"Penurunan ini mengukuhkan trend pengurangan pertikaian mengenai dagangan dalam talian atau gangguan platform pelaburan, tanpa sebarang pertikaian dalam bidang ini yang diterima oleh SIDREC pada tahun itu," katanya.

Tahun lepas, SIDREC menguruskan sejumlah 95 pertikaian yang layak, 46 pertikaian yang layak dibawa ke hadapan dari 2022 serta 49 pertikaian yang layak diterima pada 2023.

Ia berkata sebanyak 55 pertikaian yang layak telah diselesaikan pada peringkat pengurusan, pengantaraan atau pengadilan manakala 35 pertikaian yang layak dibawa ke hadapan menjadikannya kepada 224. Dua pertikaian yang layak telah dikecualikan, dua telah dihentikan dan satu lagi disifatkan pramatang (pihak-pihak terlibat dikehendaki untuk cuba menyelesaikan pertikaian mereka tanpa campur tangan pihak ketiga terlebih dahulu).

SIDEC mendedahkan daripada 55 pertikaian yang diselesaikan, 37 atau 67 peratus telah diselesaikan dalam tempoh masa yang dimandatkan selama 90 hari bekerja.

“Baki 18 kes pertikaian telah mengambil masa lebih lama untuk diselesaikan kerana beberapa faktor termasuk kurangnya kerjasama daripada pihak-pihak terbabit dan kes yang rumit,” jelasnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan