EKONOMI > BERITA

ORGANISASI PERLU PASTIKAN KERANGKA TEKNOLOGI PENGURUSAN RISIKO MENYELURUH DILAKSANAKAN - SC

10/05/2024 02:45 PM

KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- Pemimpin organisasi perlu memastikan kerangka teknologi pengurusan risiko yang menyeluruh dapat dilaksanakan yang menjadi panduan mengenal pasti risiko utama dan langkah kawalan yang sewajarnya, kata Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Pengerusinya Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin berkata melalui inisiatif seperti Garis Panduan Pengurusan Risiko Teknologi (GTRM) dan Simulasi Siber Pasaran Modal (CMCS), SC sedang melengkapkan industri agar bersedia untuk menghadapi sebarang cabaran yang timbul.

“Dalam landskap perniagaan hari ini, penggunaan perkhidmatan pihak ketiga seperti perkhidmatan awan semakin diutamakan.

“Kami mendapati organisasi berupaya melaksanakannya dengan lebih baik untuk mengurus risiko berkaitan penyedia perkhidmatan pihak ketiga dengan menyediakan rangka kerja sewajarnya,” katanya dalam ucapan alu-aluan beliau pada Sesi Libat Urus CEO SCxSC: Forum C-Suite untuk Menguruskan Teknologi dan Risiko Siber.

Awang Adek berkata GTRM, yang direka untuk membimbing peserta pasaran bagi mewujudkan tadbir urus dan pengawasan risiko teknologi yang mantap dan teguh, akan berkuat kuasa pada 1 Ogos 2024.

Selain itu, katanya entiti itu dijangka menyerahkan pengisytiharan pematuhan kepada GTRM kepada SC menjelang suku pertama 2025 manakala maklumat selanjutnya mengenai aspek ini akan mengikuti garis panduan yang berkuat kuasa.

Beliau berkata komitmen SC untuk memacu pembangunan teknologi kewangan melalui inisiatif selanjutnya seperti sesi meja bulat mengenai dasar inovasi, sesi ‘pitch and match’, dan sidang kemuncak teknologi kewangan (fintech) SCxSC menekankan kepada kepentingan kerjasama antara pengawal selia dan pihak berkepentingan industri dalam menangani cabaran yang berlaku.

Malah, Awang Adek berkata program ini bertujuan memastikan industri mengikuti aliran teknologi terkini dan memberi penerangan mengenai dapatan dan insiden audit teknologi industri yang lazim serta mungkin memberi kesan kepada operasi perniagaan.

Beliau berkata SC juga berhasrat menyelaraskan jangkaan peranan kepimpinan, mengukuhkan sebarang aspek yang diharapkan daripada pihak atasan berkaitan pengurusan risiko teknologi.

“Saya telah dimaklumkan bahawa ramai pemain industri masih tidak berjaya mencapai amalan kebersihan siber masing-masing, walaupun dari segi kawalan asas kepada sistem kritikal.

“Ini sangat membimbangkan memandangkan kebersihan asas seumpama itu merupakan asas kepada keupayaan organisasi untuk mempertahankan diri, dan analisis kami menunjukkan kekurangan membawa kepada serangan siber, perisian tebusan dan kehilangan data,” katanya

Menurut Awang Adek, banyak organisasi juga tidak mengekalkan amalan keselamatan utama antaranya ujian penembusan, penilaian kerentanan, amalan pengerasan, pengurusan akses keutamaan dan semakan semula tetap ID pengguna.

Beliau berkata keadaan ini membimbangkan, terutama berikutan insiden siber seperti perisian tebusan dan pelanggaran data yang semakin kerap berlaku.

“CMCS menjadi bukti pendekatan proaktif SC dalam melengkapkan industri agar bersedia terhadap insiden siber. Menerusi simulasi senario dunia sebenar, organisasi boleh menguji tindak balas dan strategi pemulihan masing-masing sekali gus memperkukuh daya tahan mereka terhadap kemungkinan ancaman siber,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan