EKONOMI > BERITA

TTM TECHNOLOGIES MAHU PERCEPATKAN PELABURAN FASA KEDUA DI PULAU PINANG

25/04/2024 03:44 PM

BUKIT MERTAJAM, 25 April (Bernama) -- TTM Technologies Inc, sebuah syarikat tersenarai NASDAQ telah melancarkan fasiliti pembuatan pertamanya di Malaysia hari ini.

Pada masa yang sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Thomas Edman mendedahkan rancangan syarikatnya untuk mempercepatkan pelaksanaan pelaburan Fasa Kedua berikutan permintaan kukuh bagi teknologi canggih papan litar bercetak berbilang lapisan.

Syarikat itu pada asalnya menjadualkan pengembangan pada 2025, dengan peningkatan kapasiti fasiliti sebanyak 25 peratus.

"Jika dua tahun lepas, anda bertanya kepada saya tentang pelaburan Fasa Kedua ini, saya akan kata ia hanya akan berlaku menjelang 2025 tetapi sekarang, kami sedang merancang untuk bermula pada akhir tahun ini berikutan minat pelanggan yang kukuh," katanya pada sidang media selepas majlis perasmian fasiliti itu di sini hari ini.

TTM telah memperuntukkan US$200 juta (kira-kira RM958 juta) bagi menubuhkan kemudahan itu yang terletak di atas tanah seluas 10.9 hektar di Taman Sains Pulau Pinang, dan ia dijangka mewujudkan sekitar 1,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai kategori menjelang 2025.

Edman berkata kilang itu bertujuan untuk memberi perkhidmatan kepada pasaran komersial global, terutamanya dalam rangkaian, pengkomputeran pusat data, perubatan, instrumentasi serta sektor perindustrian.

Pelaburan untuk Fasa Kedua akan lebih rendah daripada Fasa Satu memandangkan fasiliti sedia ada sudah lengkap dan mampu menampung pengembangan fasa seterusnya.

Beliau turut memberitahu TTM Technologies pada masa ini sedang meningkatkan pengeluarannya, dengan kemudahan itu dijangka menjana hasil kadar larian penuh kira-kira RM855 juta menjelang 2025.

“Kami yakin pelan pengembangan strategik ini akan membolehkan kami mengukuhkan kehadiran kami selain memanfaatkan peluang pelanggan baharu, meluaskan jejak serta memacu pertumbuhan pasaran kami sambil memanfaatkan ekonomi rantau ini yang sedang berkembang pesat dan ekosistemnya yang bertenaga,” tambahnya.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, yang merasmikan pembukaan kemudahan itu, menjelaskan bahawa keputusan TTM Technologies untuk menubuhkan kilangnya di Pulau Pinang menandakan keyakinan pelabur asing terhadap negeri tersebut.

Beliau menekankan kedudukan Pulau Pinang sebagai hab pembuatan termaju, dengan lebih 350 syarikat multinasional serta 4,000 perusahaan kecil dan sederhana.

“Pelaburan dari Amerika Syarikat mempunyai kehadiran yang ketara di negeri ini, mencecah paras RM6.7 bilion pada 2023,” katanya.

--BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan