EKONOMI > BERITA

RIA ASNB CAPAI PELABURAN LEBIH RM6 JUTA SETAKAT 2 MEI

04/05/2024 03:01 PM

PUTRAJAYA, 4 Mei (Bernama) -- Penasihat Pelaburan Robo (RIA) Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) telah menarik lebih RM6 juta dari segi jumlah pelaburan setakat 2 Mei lepas.

Syarikat pengurusan unit amanah tersebut dan sebuah syarikat pengurusan pelaburan digital milik Permodalan Nasional Berhad telah melancarkan ciri baharu tersebut dalam aplikasi myASNB secara berperingkat bermula Mac lepas. 

 Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB Muzzaffar Othman berkata jumlah pelaburan tersebut adalah daripada lebih 16,000 pengguna yang telah melabur dalam RIA.

“Kita ada lebih 3 juta pengguna aplikasi ASNB dan daripada jumlah itu, seramai 60,000 pengguna telah mendaftar dengan RIA. 

“Seramai kira-kira 16,000 hingga 17,000 pengguna telah melabur dan menjadikan jumlah pelaburan lebih RM6 juta,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Penasihat Pelaburan Robo (RIA) di sini hari ini.

Ia dirasmikan oleh Pengerusi Kumpulan PNB Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda.

Muzaffar berkata ASNB komited bukan sahaja dalam menyediakan penyelesaian pelaburan yang inovatif tetapi juga menggalakkan literasi kewangan dan memperkasa rakyat Malaysia untuk membuat keputusan bermaklumat bagi masa depan kewangan mereka.

“ASNB menawarkan pengalaman interaktif kepada pengunjung untuk mengetahui lebih lanjut tentang RIA, bertujuan memberi inspirasi dan mendidik rakyat Malaysia tentang kepentingan melabur dan betapa mudahnya untuk berbuat demikian.

“Dengan menyediakan pengalaman langsung dan pandangan yang berharga, kami memperkasakan individu untuk memulakan perjalanan pelaburan mereka dengan yakin,” katanya.

Beliau berkata RIA menyediakan pemilihan portfolio automatik, berdasarkan penilaian risiko individu, yang terdiri daripada dana patuh Syariah ASNB.

“Dengan pemprofilan risiko intuitif dan portfolio pengimbangan semula automatik dari semasa ke semasa, RIA menjadikan pelaburan boleh diakses oleh semua orang tanpa mengira tahap pengalaman atau latar belakang kewangan mereka,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan