Ahad, 05 Julai 2020
EKONOMI
29/06/2020 10:04 PM

KUALA LUMPUR, 29 Jun -- Bank Rakyat hari ini meminta ahli, pelanggan dan pihak berkepentingannya supaya kekal bertenang selain menegaskan operasi perniagaannya berjalan seperti biasa serta masih menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan tanpa menjejaskan perniagaannya.

Bank berkenaan menerusi kenyataan hari ini berkata pihaknya menghormati dan menerima pendapat ahli yang merupakan antara pihak berkepentingan.

"Sebagai sebuah bank koperasi yang mempunyai hampir 900,000 ahli, bank menganggap perbezaan pendapat dalam kalangan ahli adalah perkara biasa terutama untuk sebuah koperasi yang mempunyai jumlah ahli tertinggi di Malaysia.

"Kejayaan Bank Rakyat untuk kekal sebagai bank koperasi Islam yang terbesar di Malaysia adalah didorong sokongan yang diberikan oleh kerajaan kepada bank selama ini," menurut Bank Rakyat merujuk kepada laporan media baru-baru ini berkaitan tuntutan pemansuhan Akta Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Peruntukan Khas) 1978 (Akta 202).

Ia berkata antara pencapaian Bank Rakyat adalah mengekalkan kadar pembayaran dividen minimum 10 peratus atau lebih sejak 20 tahun lepas kepada ahli.

Selain itu, bank turut mencatat keuntungan lebih RM1 bilion secara konsisten setiap tahun sejak 2008.

"Manakala penarafan institusi kewangan AA2/Stabil/P1 yang diberikan oleh RAM Ratings kepada Bank Rakyat juga berdasarkan kepada status yang disokong oleh kerajaan, seiring dengan kedudukan sebagai bank koperasi serta institusi kewangan pembangunan.

"Pada tahun ini, Bank Rakyat turut mempercepat pembayaran dividen bagi 2019 sebanyak 14 peratus serta pembayaran zakat perniagaan untuk membantu golongan B40 dan asnaf yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan susulan penularan COVID-19," katanya.

Bank Rakyat berkata ia membuktikan bahawa kerjasama yang terjalin dengan kerajaan secara amnya telah banyak memberikan manfaat kepada ahli dan masyarakat setempat.

“Pencapaian ini juga tidak mungkin dapat dicapai tanpa kesetiaan ahli dan pelanggan bank. Justeru, Bank Rakyat merakamkan penghargaan atas sokongan dan keyakinan kepada bank selama ini,” menurutnya.

-- BERNAMA

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan