DUNIA > BERITA

FU NING, KAPAL TRADISIONAL CINA TERBESAR DI DUNIA, BERLABUH DI MELAKA PADA 1 MEI

27/04/2024 04:52 PM

SINGAPURA, 25 April (Bernama) -- Rakyat Malaysia berpeluang melihat Fu Ning, kapal layar kayu tradisional Cina terbesar di dunia, apabila ia berlabuh di Jeti Pelabuhan Tanjung Bruas di negeri Melaka bermula 1 Mei ini.

Kapal yang berukuran 41.6 meter (m) panjang, 12m lebar dan mempunyai ketinggian tiang utama 29m, akan berlabuh di pelabuhan selama seminggu sebagai sebahagian daripada aspirasi pemilik kapal Lin Chang Jiu untuk menghormati pencapaian Laksamana Cheng Ho dan menjejaki semula laluannya di sepanjang Jalan Sutera Maritim.

Kapal itu, yang memulakan pelayarannya dari Huangpu di Guangzhou, China, pada 31 Jan, kini berlabuh di One15 Marina, Sentosa Cove, untuk Festival Kapal Layar Singapura.

Jurucakap Fu Ning, Linda Ye ketika ditemui wartawan pada majlis sambutan Fu Ning di marina itu pada Khamis, berkata mereka kini sedang memuktamadkan butiran aktiviti semasa di Melaka.

Diperbuat dengan campuran ketukangan tradisional dan teknologi moden, kapal yang diperbuat daripada kayu jati dan ros itu mempunyai bank kuasa atas kapal berkapasiti 300kwh daripada pengeluar bateri China CATL yang mampu menyokong keperluan elektrik kapal selama sehari dengan sekali cas.

Kapal itu dibina oleh Fujian Hezhou Fuchuan Cultural Industry Development Co. yang diasaskan oleh Lin sebagai sebahagian daripada Ningde City, komitmen Wilayah Fujian kepada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) untuk memulihara "teknologi pembuatan ruang kedap air Fuzhou."

Teknologi kuno itu merupakan teknik pembinaan kapal tradisional Cina yang berasal dari Fuzhou di wilayah Fujian dan dimasukkan ke dalam Senarai Warisan Budaya Tidak Ketara UNESCO yang Memerlukan Penjagaan Segera pada 2010.

Ye berkata kapal itu boleh mengangkut sehingga 42 orang pada satu-satu masa.

"Kami terbuka jika ada yang berminat untuk menyewa kapal ini, tetapi itu terpulang kepada peraturan tempatan.

"Tujuan utama pelayaran kami sebenarnya adalah untuk mengadakan pertukaran dengan orang ramai di seluruh  dunia di samping mempromosikan budaya maritim tradisional Cina," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan