DUNIA > BERITA

Malaysia Perlu Sesuaikan Dasar Luar Dengan Perubahan Landskap Global - Bekas Diplomat

01/07/2026 01:39 PM

Oleh Nur Atiq Maisarah Suhaimi

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Malaysia perlu menyesuaikan dasar luarnya dengan landskap geopolitik yang semakin kompleks bagi melindungi kepentingan strategiknya, kata seorang bekas diplomat.

Felo Adjung Kanan di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang, Singapura Datuk Dr Ilango Karuppannan berkata meskipun dasar luar Malaysia sejak sekian lama berteraskan prinsip berkecuali dan mengamalkan penglibatan yang seimbang, pendekatan diplomasi negara tidak boleh kekal statik ketika dinamik geopolitik dunia terus berubah.

"Saya tidak fikir dasar itu perlu diubah secara keseluruhan, tetapi ia perlu terus berkembang kerana keadaan di peringkat global sentiasa berubah," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata kedudukan strategik Malaysia di sepanjang Selat Melaka, yang merupakan antara laluan perdagangan maritim paling sibuk di dunia dengan kira-kira 100,000 kapal melaluinya setiap tahun, memberikan negara kepentingan geopolitik yang besar.

Bagaimanapun, kelebihan itu juga menyebabkan Malaysia lebih terdedah kepada perkembangan geopolitik di luar sempadannya, seperti yang dapat dilihat menerusi gangguan rantaian bekalan baru-baru ini serta kebimbangan terhadap keselamatan tenaga global dan perdagangan maritim di Selat Hormuz.

Karuppannan berkata persekitaran global yang semakin tidak menentu menuntut Malaysia sebagai sebuah negara perdagangan bertindak lebih proaktif, khususnya dalam isu yang mempunyai implikasi besar terhadap perdagangan, keselamatan maritim dan keselamatan tenaga.

"Kita sebenarnya sebuah negara yang sangat berpengaruh dan signifikan dari sudut geopolitik. Namun, kita tidak menampilkan diri sedemikian.

"Saya fikir kita masih belum melakukan secukupnya. Kita perlu menunjukkan bahawa Malaysia lebih penting daripada tanggapan yang ada ketika ini," katanya.

Karuppannan, yang pernah berkhidmat sebagai Duta Besar Malaysia ke Lubnan berkata konflik di Asia Barat menggariskan keperluan untuk Malaysia menyesuaikan dasar luarnya dengan perubahan landskap geopolitik semasa.

Beliau berkata penglibatan diplomatik Malaysia di rantau itu secara tradisinya lebih tertumpu kepada Arab Saudi dan negara-negara Teluk, namun kepentingan strategik Iran yang semakin meningkat khususnya pengaruhnya terhadap Selat Hormuz, memerlukan perhatian diplomatik yang lebih besar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan