DUNIA > BERITA

Serangan Israel Di Lubnan Ragut 28 Nyawa

29/05/2026 08:56 AM

BEIRUT, 29 Mei (Bernama-Anadolu) -- Serangan Israel mengorbankan sekurang-kurangnya 28 orang dan mencederakan 42 yang lain di selatan, tengah dan timur Lubnan pada Khamis susulan pelanggaran berterusan perjanjian gencatan senjata, menurut laporan rasmi Lubnan.

Anadolu Ajansi (AA) melaporkan bahawa serangan itu melibatkan 95 serangan udara dan sembilan operasi bedilan artileri yang menyasarkan kawasan kejiranan, kawasan komersial dan jalan utama di beberapa daerah di seluruh negara.

Mangsa termasuk enam kanak-kanak, lima wanita, dua anggota tentera Lubnan serta sebuah keluarga yang disasarkan ketika cuba melarikan diri daripada keganasan di selatan Lubnan.

Di daerah Nabatieh, serangan intensif Israel menyasarkan kawasan kediaman dan komersial di bandar Nabatieh serta bandar berhampiran, memusnahkan beberapa bangunan dan sebuah masjid berhampiran pusat Palang Merah Lubnan.”

Satu serangan di jalan Zefta-Deir al-Zahrani mengorbankan dua anggota tentera Lubnan, manakala serangan di Jibsheet meragut nyawa seorang pekerja Bangladesh, isterinya dan anak mereka selepas kenderaan dinaiki menjadi sasaran.

Di daerah Sidon, serangan Israel ke atas sebuah kenderaan yang dinaiki keluarga yang cuba melarikan diri di Lebuhraya Adloun mengorbankan enam orang, termasuk dua kanak-kanak dan ibu bapa mereka.

Satu lagi serangan menyasarkan sebuah apartmen di bangunan kediaman bertingkat di kawasan Qiyaa, Sidon, mengorbankan lima orang, termasuk dua wanita serta mencederakan 21 yang lain, antaranya kanak-kanak.

Di daerah Tyre, serangan Israel menyasarkan beberapa bandar dan kawasan kejiranan, manakala satu serangan mengenai sebuah kafe dan bangunan kediaman di Jalan Hiram, mencetuskan kebakaran dan operasi menyelamat.

Satu lagi serangan meranapkan sebuah bangunan di kawasan Zuqouq al-Mufti di Tyre, manakala serangan tambahan menyasarkan jalan raya dan kawasan kediaman di seluruh daerah itu.

Tentera Israel turut mengeluarkan amaran pemindahan baharu meliputi kawasan di bandar Tyre, termasuk kawasan kejiranan, kem pelarian dan kawasan berhampiran Hospital Hiram.

Bedilan artileri Israel turut menyasarkan beberapa bandar di daerah Nabatieh, Marjayoun, Tyre dan Hasbaya.

Di timur Lubnan, satu serangan Israel menyasarkan bandar Sohmor di daerah Bekaa Barat.

Satu lagi serangan Israel mengenai sebuah apartmen di kompleks kediaman Al-Rayan di Choueifat berhampiran pinggir bandar selatan Beirut, mengorbankan tiga orang termasuk seorang wanita, bayi perempuannya dan seorang kanak-kanak Syria, selain mencederakan 15 yang lain.

Serangan itu merupakan sebahagian daripada pelanggaran berterusan Israel terhadap perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa pada 17 April lepas dan kemudian dilanjutkan sehingga awal Julai.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan