DUNIA > BERITA

Dari Revolusi Ke Angkasa, 100 Tahun China Dibingkai Dalam Muzium

23/05/2026 07:19 PM

Daripada Siti Zanariah Nor Zin

(Penulis merupakan wartawan Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) yang terpilih mewakili media Malaysia bagi menyertai program fellowship China International Press Communication Centre (CIPCC) tiga bulan anjuran Persatuan Diplomasi Awam China.)

BEIJING, 23 Mei (Bernama) -- Perjalanan panjang China daripada sebuah negara dihimpit peperangan dan kemiskinan sehinggalah kejayaan menguasai ekonomi, teknologi tinggi dan eksplorasi angkasa lepas dipaparkan secara menyeluruh di sebuah muzium di tengah-tengah ibu negara ini. 

Penulis berkesempatan melawat Muzium Parti Komunis China (CPC) itu baru-baru ini sebagai sebahagian daripada program fellowship China International Press Communication Centre (CIPCC) 2026 di Beijing.

Terletak berhampiran kawasan Olympic Green Beijing yang turut menempatkan stadium ikonik “Bird’s Nest”, muzium tersebut menghimpunkan ribuan bahan pameran perjalanan lebih satu abad pembangunan negara keempat terbesar dunia itu.

Lawatan membawa penulis merentasi perjalanan sejarah China dari era kebangkitan revolusi hingga kemunculannya sebagai gergasi ekonomi dan teknologi dunia masa kini.

Dengan keluasan hampir 150,000 meter persegi, muzium berkenaan menyambut ketibaan pengunjung dengan deretan 28 tiang tinggi dan besar berkonsepkan tradisional sekali gus menonjolkan lagi imej kemegahan negara Tembok Besar itu.

Menerusi maklumat yang dikongsikan kurator, muzium dibahagikan kepada empat bahagian utama berdasarkan perjalanan sejarah rakyat China iaitu daripada era kebangkitan rakyat, pembangunan ekonomi sehingga kemajuan negara menjadi sebuah kuasa besar dunia. 

Di sini, pengunjung tempatan dan asing berpeluang merasai pengalaman imersif di ruang simulasi multimedia 5D yang dilengkapi kesan pergerakan dan visual, seolah-olah membawa mereka menyusuri perjalanan sejarah China itu sendiri.

Penulis begitu teruja merasai sendiri pengalaman meneroka laut dalam menerusi ruang simulasi imersif selain dibawa ‘terbang’ untuk melihat simulasi pembangunan bandar moden dan projek teknologi tinggi China dari ruang udara. 

Menariknya, muzium tiga tingkat itu turut menyimpan lebih 2,500 keping gambar serta lebih 4,500 koleksi artifak bersejarah yang memaparkan perjalanan perjuangan Parti Komunis China secara menyeluruh serta kronologi yang mendalam. 

Pameran di tingkat dua tertumpu pada gambaran pengorbanan, perjuangan dan penerokaan teori yang dilakukan parti itu dalam usaha membangunkan negara serta meningkatkan taraf hidup rakyat. 

Menerusi pameran itu juga, pengunjung dapat memahami cabaran besar yang dihadapi China dalam membentuk kerajaan baharu, membangunkan negara serta memperkukuh sistem sosialisme bercirikan China.

Antara tarikan utama ditampilkan ialah replika lokasi Kongres Kebangsaan Pertama Parti Komunis China di Shanghai pada 1921, selain paparan berkaitan “Red Boat” di Jiaxing yang dianggap sebagai simbol permulaan perjuangan revolusi negara itu.  

Detik penubuhan Republik Rakyat China pada 1949, termasuk rakaman Mao Zedong mengisytiharkan penubuhan negara baharu di Dataran Tiananmen serta bendera pertama yang dikibarkan ketika itu turut dipamerkan.

Selain menonjolkan perjuangan revolusi, muzium itu menunjukkan perubahan besar China selepas era reformasi dan keterbukaan yang diperkenalkan Deng Xiaoping pada penghujung 1970-an, yang membuka laluan kepada pemodenan pesat negara itu.  

Bahagian akhir pameran pula memfokuskan pada pencapaian moden China termasuk kejayaan program pembasmian kemiskinan, pembangunan luar bandar, teknologi kecerdasan buatan, penerokaan laut dalam dan kemajuan aeroangkasa.  

Antara yang paling mencuri perhatian ialah paparan program angkasa China termasuk misi penerokaan bulan Chang’e, misi Tianwen ke Marikh serta pembangunan pesawat komersial buatan tempatan COMAC C919.  

Dengan pelbagai ruang pameran menarik serta himpunan artifak, tidak hairanlah muzium itu menerima pelbagai pengiktirafan peringkat nasional antaranya Anugerah Ruban pada 2021 dan terbaharu pada 2025 dianugerahkan gelaran Unit Ketamadunan Nasional Ketujuh.  

Muzium berkenaan mula dibuka kepada orang awam secara percuma pada Julai 2021. Ia dibuka setiap hari kecuali Isnin, bermula 9 pagi hingga 5 petang dengan pemeriksaan ketat di pintu masuk. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan