Oleh Siti Zanariah Nor Zin
BEIJING, 21 Mei (Bernama) -- China komited terhadap peranannya dalam mempertahankan keamanan dunia, menyumbang kepada pembangunan global serta mempertahankan aturan antarabangsa di tengah ketidaktentuan global dan ketegangan geopolitik yang semakin meningkat, menurut Penolong Menteri Luar Hong Lei.
Beliau berkata China juga terus mengekalkan pendirian objektif dan adil terhadap isu seperti krisis Ukraine dan konflik Asia Barat, di samping menggalakkan rundingan damai serta penyelesaian politik sebagai sebahagian daripada peranannya sebagai kuasa besar yang bertanggungjawab.
“Dunia sedang mengalami perubahan besar yang dicirikan oleh konflik geopolitik, pemulihan global yang perlahan, unilateralisme dan perlindungan yang menjejaskan aturan antarabangsa.
“Bagi menangani cabaran ini, Presiden Xi Jinping telah mengemukakan visi membina komuniti berkongsi masa depan untuk umat manusia serta pelbagai inisiatif yang dicadangkannya,” katanya pada majlis pembukaan program Pusat Komunikasi Akhbar Antarabangsa China (CIPCC) 2026 di sini pada Khamis.
Hong turut memaklumkan bahawa China akan menjadi tuan rumah Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Shenzhen pada November, sambil menyifatkannya sebagai antara acara kerjasama ekonomi paling penting di rantau Asia-Pasifik.
“China akan mengambil peluang itu untuk menggalakkan pembinaan komuniti Asia-Pasifik berkongsi masa depan, di samping menyumbang kepada integrasi ekonomi serantau serta pembangunan dan kemakmuran global,” katanya.
Menyentuh mengenai program fellowship CIPCC 2026, Hong berkata peserta akan menjelajah pelbagai wilayah di China untuk memperoleh pendedahan secara langsung terhadap pembangunan dan usaha pemodenan negara itu.
“Pengamal media akan menyaksikan pembangunan terkoordinasi wilayah Beijing-Tianjin-Hebei, pertumbuhan dipacu inovasi di Delta Sungai Yangtze, perkembangan pesat Kawasan Teluk Besar, selain pencapaian pembangunan di wilayah barat China,” katanya.
Peserta turut akan melawat syarikat berteknologi tinggi, kilang, sekolah dan komuniti setempat, selain berinteraksi secara langsung dengan rakyat bagi memahami dengan lebih mendalam transformasi ekonomi dan pembangunan sosial China.
Program CIPCC 2026 anjuran Persatuan Diplomasi Awam China (CPDA) menghimpunkan 98 pengamal media dari 90 negara bagi program pertukaran media selama tiga bulan di Beijing.
Wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Siti Zanariah Nor Zin merupakan satu-satunya wakil media Malaysia bagi program tahun ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial