Oleh Kenny Teng Khoon Hock
BANGKOK, 20 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul mengetuai anggota Parlimen daripada Parti Bhumjaithai pada Rabu menyerahkan draf pindaan perlembagaan kepada Yang Dipertua Dewan Perwakilan Sophon Saram, sambil menyifatkan langkah itu mencerminkan kehendak rakyat.
Anutin, yang juga pemimpin Parti Bhumjaithai, berkata inisiatif itu susulan keputusan referendum yang menyaksikan pengundi menyatakan sokongan terhadap pindaan kepada beberapa bahagian dalam Perlembagaan.
“Penyerahan rang undang-undang pindaan ini selaras dengan hasrat parti untuk mendengar suara dan tuntutan rakyat berhubung pindaan perlembagaan,” katanya kepada pemberita di Parlimen pada Rabu.
Beliau turut menolak dakwaan bahawa Bhumjaithai tidak bersungguh-sungguh dalam usaha reformasi perlembagaan, sambil menambah bahawa parti itu merupakan yang pertama menyerahkan draf pindaan secara rasmi.
“Hari ini, kami telah menunjukkan dengan jelas bahawa tuduhan itu tidak berasas. Kami menyerahkan draf ini kerana rakyat meminta kami berbuat demikian, bukan disebabkan dakwaan yang diputar belit kononnya Parti Bhumjaithai tidak mempunyai komitmen atau keikhlasan dalam reformasi perlembagaan,” katanya.
Anutin berkata hasil proses pindaan itu bergantung kepada perbahasan di Dewan Perwakilan dan Senat.
Beliau berkata Bhumjaithai kekal terbuka untuk mempertimbangkan cadangan daripada parti lain, termasuk parti pembangkang Parti Rakyat, yang dijangka menyerahkan rang undang-undang pindaannya sendiri minggu depan.
Sementara itu, Sophon berkata draf pindaan perlembagaan yang diserahkan Bhumjaithai akan dimasukkan ke dalam agenda Parlimen mengikut prosedur yang ditetapkan.
“Saya telah menerima draf Parti Bhumjaithai. Parti lain juga boleh menyerahkan draf tambahan jika mahu, namun memandangkan Parti Bhumjaithai sebagai parti utama telah mengemukakan cadangannya, draf ini kini akan dimasukkan dalam agenda mesyuarat,” katanya.
Usaha pindaan perlembagaan itu menyusuli referendum yang diadakan awal tahun ini apabila pengundi Thailand memberi isyarat sokongan terhadap reformasi perlembagaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial