Daripada Anas Hassan
SINGAPURA, 20 Mei (Bernama) -- Koresponden luar negara Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) berperanan sebagai jambatan penting yang membantu memperkukuh hubungan diplomatik dua hala sepanjang 59 tahun penubuhannya.
Mereka bertanggungjawab melaporkan pelbagai perkembangan antarabangsa melibatkan isu seperti geopolitik dan ekonomi di peringkat serantau dan global.
Pejabat Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Luar Negeri Singapura (MITI Singapura) menyifatkan Bernama sebagai bukan sekadar agensi berita, malah rakan strategik yang penting dalam memacu diplomasi ekonomi negara.
Menerusi laporan yang tepat, berwibawa dan menyeluruh, Bernama membantu mengetengahkan kekuatan ekonomi negara, kestabilan dasar kerajaan serta potensi Malaysia sebagai destinasi pelaburan dan rakan dagangan yang kompetitif di rantau ini.
"Dalam konteks hubungan Malaysia-Singapura, Bernama sentiasa menyokong pengukuhan hubungan ekonomi dua hala melalui liputan yang ekstensif dan mendalam.
"Agensi ini turut memainkan peranan utama dalam mencorakkan naratif positif mengenai perdagangan, pelaburan, pembangunan industri serta inisiatif ekonomi baharu negara kepada pelabur asing dan komuniti perniagaan antarabangsa yang berpangkalan di Singapura," katanya kepada Bernama sempena ulang tahun ke-59 penubuhan agensi itu hari ini.
Ditubuhkan di bawah Akta BERNAMA 1967, agensi berkenaan mula beroperasi pada 20 Mei 1968 dengan perkhidmatan teks berita sebelum berkembang kepada perkhidmatan foto, radio, televisyen dan media digital.
MITI Singapura turut melihat Bernama sebagai sumber berita rasmi yang diyakini kerana komitmennya terhadap ketepatan fakta, etika kewartawanan dan penyampaian maklumat yang sahih.
"Dalam era persaingan global dan transformasi digital, Bernama mempunyai potensi besar untuk terus memperluas capaian kandungan berkualiti tinggi, termasuk dalam bidang ekonomi, perdagangan, pelaburan dan teknologi baharu," katanya.
Sementara itu, bagi bekas koresponden Bernama di India, M Saraswathi, beliau menyifatkan tugas seorang koresponden bukan sahaja melaporkan berita tetapi turut menjadi duta kecil negara dalam aspek penyampaian maklumat.
Beliau berkata selain menulis mengenai hubungan dua hala dan menghasilkan artikel mempromosi Malaysia, koresponden juga diamanahkan untuk menegakkan profesionalisme dan integriti sepanjang masa, sambil memelihara nama baik dan imej negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial