SUKAN > BERITA

Piala Cahya Mata 2026 Pacu Bola Sepak Komuniti

23/05/2026 10:50 AM

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Sukan bola sepak komuniti di Malaysia dijangka menerima lonjakan besar apabila Piala Cahya Mata 2026 akan diadakan serentak di seluruh negara, yang menawarkan jumlah keseluruhan hadiah sebanyak RM744,000, dan dijadualkan bermula 4 Julai depan.

Susulan kejayaan penganjuran edisi di Kuching, Sarawak tahun lepas, Pengarah Urusan Kumpulan Cahya Mata Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Abdul Taib berkata pihaknya sedang memperluas acara sukan itu bagi menyediakan platform pembangunan belia dan penglibatan komuniti di seluruh negara.

“Pada (kejohanan tahun lepas), saya melihat penglibatan komuniti, kesungguhan para pemain. Ia memberikan inspirasi kepada saya untuk menjadikannya peringkat kebangsaan.

“Kami mahu menyuntik inspirasi kepada rakyat Malaysia bahawa tiada perbezaan antara agama, kaum dan jantina,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Beliau berkata bagi mengekalkan integriti kejohanan sebagai platform akar umbi, penganjur telah melarang keras penyertaan pemain profesional daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan liga utama yang lain. 

Kejohanan yang berlangsung hingga November itu akan menampilkan format liga, melibatkan penyertaan kira-kira 11,200 pemain dan pegawai, dengan penyertaan terhad kepada warganegara Malaysia berumur antara 16 hingga 35 tahun, dengan setiap pasukan diberi pilihan untuk mendaftarkan hingga lima pemain berumur lebih 35 tahun.

Sulaiman Abdul Rahman berkata program itu turut menekankan gaya hidup sihat melalui program kesedaran dadah, iaitu pemain akan menjalani ujian air kencing secara rawak dan jika ada pemain yang positif akan menyebabkan penyertaan seluruh pasukan kelayakan dibatalkan serta-merta. 

Beliau berkata pendaftaran adalah percuma dan masih dibuka hingga 20 Jun ini, dan pasukan yang berminat boleh menghubungi persatuan bola sepak negeri masing-masing untuk mendapatkan satu daripada 16 hingga 32 slot yang disediakan bagi setiap negeri.

Di peringkat negeri, pemenang akan membawa pulang RM20,000, manakala juara keseluruhan yang akan ditentukan pada peringkat akhir di Kuching bakal memenangi RM100,000.

Format pertandingan akan menyaksikan juara negeri mara ke peringkat kalah mati di Kuala Lumpur sebelum empat pasukan terbaik akan beraksi pada pusingan akhir yang berlangsung di Kuching, dan setiap juara negeri bakal menerima subsidi logistik RM5,000.

Dalam pada itu, beliau berkata Kumpulan Cahya Mata turut bekerjasama dengan skuad berbasikal trek wanita kebangsaan Malaysia yang diketuai Nurul Izzah Izzati Mohd Asri bersama Aliana Azizan, Anis Rosidi dan Amber Yong.

“Mereka boleh menyertai pelbagai kejohanan di luar negara. Perkara ini memerlukan kos yang tinggi. Mereka juga memerlukan peralatan, dan pada asasnya kami mahu membantu mereka mencapai matlamat masing-masing.

“Jika kita beri sokongan dan galakan, saya percaya mereka akan menyerlah. Insya-Allah kita akan ke Sukan Olimpik. Dan bukan seorang sahaja, kami menyasarkan empat orang. Sekali lagi, sokongan amat diperlukan dan kami akan terus memberikan sokongan itu,” katanya. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan