DUNIA > BERITA

Singapura Komited US$15 Juta Perkukuh Pasaran Karbon Artikel 6 Berintegriti Tinggi

19/05/2026 09:18 PM

Oleh Anas Hassan

SINGAPURA, 19 Mei (Bernama) -- Singapura komited menyalurkan US$15 juta (US$1=RM3.97) kepada Carbon Transaction Facility (CTF) milik Global Green Growth Institute (GGGI) bagi memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam pasaran karbon Artikel 6 berintegriti tinggi serta meningkatkan tindakan iklim.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) berkata Singapura berusaha menangani halangan praktikal yang mengekang kemajuan pasaran karbon Artikel 6, termasuk kos transaksi yang tinggi, kapasiti institusi yang terhad di negara tuan rumah, serta kekurangan pembiayaan pembangunan projek.

Artikel 6 Perjanjian Paris membolehkan negara bekerjasama dan memenuhi komitmen iklim masing-masing, atau Sumbangan Ditentukan Negara (NDC), melalui pemindahan kredit karbon yang dikenali sebagai Hasil Mitigasi Dipindahkan Antarabangsa (ITMOs).

MTI berkata sumbangan itu akan disalurkan menerusi dua kemudahan, dengan US$5 juta diperuntukkan kepada Article 6 Readiness Facility yang bertujuan memperkukuh kapasiti negara anggota dan rakan GGGI untuk menyertai pasaran karbon Artikel 6 secara berkesan.

“Baki US$10 juta pula akan digunakan untuk menubuhkan Singapore Article 6 Carbon Facility, yang akan membiayai pembangunan projek kredit karbon Artikel 6, dengan kredit yang dijana digunakan bagi memenuhi sasaran iklim Singapura sendiri,” menurut kenyataan itu.

Setiausaha Tetap MTI (Tenaga dan Perdagangan) Augustin Lee berkata Singapura komited memajukan pasaran karbon antarabangsa berintegriti tinggi yang dapat mempercepat tindakan iklim.

“Menerusi CTF, kami berharap dapat mewujudkan kredit karbon berkualiti tinggi yang boleh dibeli bagi mengimbangi pelepasan karbon kami,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan