KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) -- Operasi Evakuasi Rakyat Malaysia dari Zon Konflik Asia Barat kini ditangguhkan berikutan pembukaan semula ruang udara di kebanyakan negara di rantau itu.
Majlis Keselamatan Negara (MKN) menerusi satu pemakluman berkata kerajaan akan terus memainkan peranan untuk membantu dan memudah cara dalam keadaan tertentu, khususnya apabila melibatkan isu keselamatan atau situasi kecemasan yang menjejaskan rakyat Malaysia.
“Rakyat Malaysia yang ingin pulang ke tanah air dinasihatkan untuk mendapatkan tiket penerbangan komersial memandangkan ruang udara di kebanyakan negara telah dibuka dan terdapat penerbangan yang beroperasi ke Malaysia,” menurut pemakluman itu yang dikongsi Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai, di laman sosial X.
MKN berkata bagi perjalanan yang diuruskan melalui agensi pelancongan atau syarikat penerbangan, tanggungjawab utama untuk mengurus perjalanan serta membawa pulang penumpang adalah terletak kepada pihak yang menyediakan perkhidmatan berkenaan.
“Kerajaan sentiasa mengutamakan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di luar negara. Dengan perkembangan semasa di Asia Barat, Kerajaan Malaysia amat menitikberatkan keselamatan rakyat Malaysia dan sentiasa memantau rapat situasi keselamatan di rantau itu,” katanya.
Rakyat Malaysia juga dinasihatkan untuk merujuk kepada nasihat perjalanan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar dari semasa ke semasa.
Pada 11 Mac lepas, sebanyak 163 rakyat Malaysia yang sebelum ini terkandas di beberapa negara di rantau Asia Barat selamat tiba di tanah air menerusi penerbangan khas Malaysia Airlines bagi Operasi Evakuasi Rakyat Malaysia dari Zon Konflik Asia Barat.
Penerbangan itu turut membawa tujuh ahli keluarga bukan warganegara, iaitu lima rakyat Thailand, serta masing-masing seorang warga Indonesia dan Maghribi.
Pada 12 Mac, seramai 179 orang lagi rakyat Malaysia telah selamat tiba di tanah air dari Doha, Qatar, di bawah operasi itu.
Jumlah itu merangkumi 59 rakyat Malaysia yang terkandas serta rakyat Malaysia yang menetap di Qatar yang telah membeli tiket penerbangan sendiri.
Terdapat juga rakyat Filipina, Australia dan lain-lain yang mengambil penerbangan sambungan ke negara masing-masing setelah sampai ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Wisma Putra pada 16 Mac memaklumkan bahawa kebanyakan kes rakyat Malaysia yang sebelum ini terkandas di lapangan terbang di seluruh rantau itu telah berjaya diselesaikan susulan pembukaan semula operasi penerbangan komersial serta usaha penyelarasan berterusan oleh Perwakilan Diplomatik Malaysia.
Kemas kini daripada Perwakilan Diplomatik Malaysia menunjukkan bahawa tiada lagi rakyat Malaysia yang terkandas akibat penerbangan terjejas di Bahrain, Iraq, Lubnan, Oman, Qatar atau Arab Saudi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial