Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

LLM Tingkat Kesiapsiagaan, Tempatkan Pasukan Kecemasan Di Lokasi Strategik Sempena Aidilfitri

18/03/2026 11:25 PM

KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) -- Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) terus meningkatkan kesiapsiagaan dengan menempatkan Pasukan Bantuan Kecemasan (ERT) di 12 lokasi strategik serta mengaktifkan 873 kamera litar tertutup (CCTV) di seluruh rangkaian lebuh raya negara bagi memantau pergerakan trafik sempena Aidilfitri.

Ketua Pengarah LLM Mohd Hadzmir Yusoff berkata langkah tersebut adalah sebahagian daripada kesiapsiagaan maksimum agensi itu bagi menghadapi lonjakan trafik yang dijangka mencecah 3.5 juta kenderaan sehari sepanjang tempoh perayaan.

Beliau berkata penempatan ERT yang melibatkan kolaborasi bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta pasukan ambulans bertujuan memastikan bantuan segera diberikan sekiranya berlaku insiden luar jangka.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Pemantauan melalui CCTV pula membolehkan pusat kawalan trafik mengenal pasti lokasi kesesakan, kemalangan atau kenderaan rosak dengan pantas sebelum maklumat tersebut disalurkan kepada pengguna melalui 277 papan tanda digital di sepanjang lebuh raya,” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk "Rancang Perjalanan, Kurangkan Risiko Kemalangan".

Turut menjadi tetamu ialah Pengurus Besar Kanan Operasi PLUS Malaysia Berhad (PLUS) Mohd Yusuf Abdul Aziz dan Prof Madya Dr Ng Choy Peng dari Jabatan Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Mohd Hadzmir berkata maklumat trafik yang diperoleh akan disalurkan secara berterusan kepada polis peronda bagi tindakan pantas di lapangan termasuk hebahan menerusi platform media sosial LLM seperti TikTok dan Facebook.

“Melalui platform ini, pengguna boleh memantau keadaan trafik secara masa nyata. Sekiranya berlaku kesesakan, mereka mempunyai pilihan untuk keluar melalui persimpangan berhampiran bagi mengelak daripada terjebak dalam kesesakan lalu lintas,” katanya.

Bagi memenuhi keperluan pengguna kenderaan elektrik (EV), Mohd Hadzmir memaklumkan LLM menyediakan stesen pengecas bagi pengguna kenderaan sepanjang perjalanan ke kampung.

“Pada masa ini, terdapat 144 poin pengecas elektrik di kawasan rehat dan rawat (R&R) serta hentian sebelah di seluruh rangkaian lebuh raya. Kita juga menyasarkan penambahan sekurang-kurangnya 50 lagi poin pengecasan tahun ini,” katanya.

Sementara itu, Mohd Yusuf berkata pengaktifan 34 lokasi Smart Lane di lebuh raya PLUS sepanjang musim perayaan ini bertujuan melancarkan dan menyuraikan kepadatan trafik di kawasan tertentu.

Selain itu, katanya, semua kerja penyelenggaraan berjadual dihentikan sepenuhnya bagi memastikan tiada penutupan lorong berlaku, kecuali bagi kerja-kerja kecemasan.

"Secara keseluruhan, sebanyak 6,000 petugas akan bertugas di sepanjang jajaran lebuh raya meliputi lorong utama, kawasan rehat hingga plaza tol bagi memastikan sistem tol dan kemudahan berada dalam keadaan terbaik," katanya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan