DUNIA > BERITA

PM Pakistan Tangguh Lawatan Ke Rusia Susulan Krisis Timur Tengah

01/03/2026 11:04 PM

Oleh Shakir Husain

NEW DELHI, 1 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif telah menangguhkan lawatan beliau ke Rusia berikutan situasi keselamatan yang tidak menentu di Timur Tengah.

Shehbaz kini memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap perkembangan situasi serantau selepas Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran yang mengorbankan Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei.

Pembunuhan Khamenei telah mencetuskan kemarahan di Iran, yang merancang untuk memperhebatkan serangan balas terhadap sasaran Israel dan Amerika, serta negara-negara yang menempatkan pangkalan tentera AS.

Beberapa siri protes menyokong Iran tercetus di beberapa tempat di Pakistan dan India pada Ahad susulan berita kematian Khamenei.

"Kerajaan dan rakyat Pakistan bersama-sama rakyat Iran dalam waktu duka dan kesedihan ini, serta menyampaikan ucapan takziah yang paling tulus atas pemergian Yang Mulia Ayatollah Seyyed Ali Khamenei," kata Shehbaz menerusi hantaran di platform X.

"Pakistan juga menzahirkan kebimbangan terhadap pelanggaran norma undang-undang antarabangsa. Ia merupakan konvensyen lama bahawa Ketua Negara atau Kerajaan tidak seharusnya dijadikan sasaran," katanya.

Di bandar raya Karachi, sembilan orang maut selepas penunjuk perasaan menyerbu bangunan konsulat Amerika di Jalan Mai Kolachi, manakala demonstrasi turut diadakan di Islamabad dan Lahore.

Pejabat perwakilan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Skardu, dalam Wilayah Gilgit-Baltistan, turut dibakar oleh penunjuk perasaan Syiah.

Di seberang sempadan, protes turut diadakan di Srinagar dan Kargil.

Pegawai daripada Pejabat Perdana Menteri yang dipetik dalam laporan media Pakistan berkata, Shehbaz membatalkan lawatan yang dijadualkan pada 3 hingga 5 Mac itu disebabkan oleh situasi luar biasa berkenaan.

Shehbaz serta Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar, Ishaq Dar telah mengadakan beberapa perbualan telefon dengan pegawai-pegawai Timur Tengah sejak krisis itu meletus pada Sabtu.

Sementara itu, perkhidmatan pengangkutan serantau turut terjejas teruk.

Sebanyak 350 penerbangan yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan India telah dibatalkan pada Ahad berikutan sekatan ruang udara di Timur Tengah, menurut kenyataan Kementerian Penerbangan Awam India.

"Kementerian Penerbangan Awam sedang menjalankan penyelarasan  dengan syarikat penerbangan, pengendali lapangan terbang dan pihak berkepentingan lain untuk memantau situasi secara proaktif serta memudahkan sokongan penumpang yang diperlukan," katanya.

Biman Bangladesh Airlines pula menyambung semula perkhidmatan ke Timur Tengah pada Ahad, kecuali bagi laluan Doha, Dubai dan Abu Dhabi, menurut laporan agensi berita Bangladesh Sangbad Sangstha.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan