DUNIA > BERITA

China, Bulgaria Saling Memahami Dan Makmur Bersama - Presiden Iotova

02/02/2026 03:16 PM

BEIJING, 2 Feb (Bernama-CMG) -- Kekukuhan hubungan China-Bulgaria membuktikan kedua-dua negara saling memahami dan boleh mewujudkan kemakmuran bersama, kata Presiden Bulgaria Iliana Iotova. 

China dan Bulgaria menyambut ulang tahun ke-76 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara pada 2025.

Iotova menyatakan China dan Bulgaria mempunyai banyak inisiatif bersama dalam bidang ekonomi, infrastruktur, program komersial, pelaburan serta pendidikan dan kebudayaan.

"Kami sangat gembira melihat hubungan kedua-dua negara semakin diperdalam, dan menantikan lebih banyak syarikat China melabur dan mengembangkan perniagaan di Bulgaria," katanya ketika ditemu bual Kumpulan Media China (CMG) baru-baru ini.

Iotova berkata Bulgaria merupakan antara peserta kerjasama berorientasikan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).

"Kita (China dan Bulgaria) harus memanfaatkan peluang ini, bekerjasama secara menyeluruh dan meningkatkan pelaburan dua hala," kata beliau.

Ketika diminta menilai erti hubungan China-Kesatuan Eropah (EU) bagi seluruh dunia, Iotova turut meluahkan rasa gembira melihat pertukaran yang semakin diperkasa antara agensi EU dengan China.

"Selama bertahun-tahun, pertukaran lawatan dan dialog antara EU dan China tidak pernah berhenti. Sudah tentu kami berharap pertukaran seperti ini dapat menjadi lebih kukuh dan berterusan.

"Kita (EU dan China) sepatutnya melihat satu sama lain sebagai rakan yang bergandingan tangan melangkah ke hadapan, bukan pesaing," kata Iotova.

-- BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan