JAKARTA, 1 Feb (Bernama) -- Indonesia berjaya memperoleh kelulusan eksport dari China bagi 40 Unit Pemprosesan Ikan (UPI) tambahan, sekali gus memperluas akses pasaran bagi produk perikanan negara itu, menurut Kementerian Hal Ehwal Marin dan Perikanan Indonesia.
Ketua Badan Pengendalian dan Pengawasan Mutu Hasil Marin dan Perikanan kementerian itu, Ishartini berkata kelulusan terbaharu itu adalah susulan perjanjian dua hala antara Indonesia dan China mengenai kesetaraan sistem jaminan kualiti produk perikanan di bawah Pengaturan Pengiktirafan Bersama (MRA).
Beliau berkata perjanjian itu membolehkan Indonesia melakukan rundingan bagi meyakinkan pihak berkuasa China untuk mengeluarkan nombor kelulusan baharu untuk UPI.
"Ini merupakan dorongan baharu bagi sektor perikanan Indonesia dan membuka peluang untuk mempelbagaikan produk eksport, terutamanya menjelang sambutan Tahun Baharu Cina 2026," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata Indonesia kini mengeksport 1,080 jenis komoditi perikanan ke China.
Pada 2025, jumlah eksport mencatatkan 491,528 tan metrik dengan nilai mencecah US$1.04 bilion.
Sepuluh komoditi eksport utama terdiri daripada sotong sejuk beku, rumpai laut Eucheuma cottonii, rumpai laut Gracilaria, ikan timah sejuk beku dan produk Eucheuma cottonii diproses. Produk utama lain termasuk rumpai laut Eucheuma cottonii kering, rumpai laut Gracilaria kering, Eucheuma spinosum, ikan jebong sejuk beku dan ikan gelama sejuk beku.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial