DUNIA > BERITA

Negara Eropah Bersatu Tentang Tarif AS Berhubung Greenland

19/01/2026 03:18 PM

BRUSSELS, 19 Jan (Bernama-Xinhua) -- Keretakan hubungan transatlantik berhubung isu Greenland semakin meruncing pada Ahad apabila Eropah menyatakan bantahan sebulat suara terhadap ancaman tarif punitif oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, lapor Xinhua.

Dalam reaksi bersepadu paling tegas setakat ini, lapan negara yang menjadi sasaran langsung tarif yang dicadangkan tersebut iaitu Denmark, Finland, Perancis, Jerman, Belanda, Norway, Sweden dan United Kingdom  mengeluarkan kenyataan bersama mengisytiharkan "solidariti penuh" terhadap Denmark dan Greenland.

Mereka memberi amaran yang tindakan AS itu berisiko mencetuskan "ketegangan yang semakin memburuk" dalam hubungan transatlantik dan berikrar untuk memberikan tindak balas yang "bersatu dan terselaras" demi mempertahankan kedaulatan.

Presiden Majlis Eropah Antonio Costa di platform X berkata Kesatuan Eropah (EU) "bersedia untuk mempertahankan diri daripada sebarang bentuk paksaan" sebagai respons kepada ancaman tarif Trump.

Reaksi peringkat nasional muncul dengan pantas dan jelas, dengan pemimpin serta menteri Eropah menyifatkan ancaman AS itu sebagai satu bentuk paksaan yang tidak boleh diterima. Menteri Luar Belanda David van Weel secara eksplisit menyifatkan tarif itu sebagai satu tindakan "ugutan" dan mendesak Washington agar menarik balik "cadangan tidak munasabah" itu sebelum ia dikuatkuasakan. Naib Canselor merangkap Menteri Kewangan Jerman Lars Klingbeil pula berkata Berlin "tidak boleh membiarkan dirinya digertak," sambil berkata "satu garisan merah telah dilanggar."

Perdana Menteri Denmark Mette Frederiksen memuat naik kenyataan di media sosial bahawa "Eropah tidak akan tunduk kepada ugutan." Menekankan sokongan sejagat terhadap Denmark, beliau berkata isu itu kini "melangkaui sempadan kami sendiri."

Momentum untuk menentang cadangan itu semakin memuncak di peringkat EU. Valerie Hayer, Presiden kumpulan Renew Europe di Parlimen Eropah, menggesa pemimpin EU untuk mengaktifkan "Instrumen Antipaksaan" yang belum pernah digunakan, yang digelar sebagai "senjata nuklear ekonomi." Mekanisme itu membolehkan tindakan balas serta-merta, termasuk tarif punitif, larangan pasaran, sekatan kewangan, dan penggantungan paten serta lesen AS, tanpa perlu merujuk kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Sambil menyatakan yang AS mengeksport barangan bernilai lebih US$500 bilion ke EU setiap tahun dan menjadikan blok itu pasaran terbesar Washington, Hayer memberi amaran yang Trump "sepatutnya berfikir dua kali," dan menegaskan yang EU "tidak gentar menggunakan langkah pencegahan demi mempertahankan diri."

Pada Ahad malam, laporan oleh Financial Times mendedahkan yang ibu negara anggota EU sedang mempertimbangkan untuk mengenakan tarif bernilai 93 bilion euro (US$107.68 bilion) terhadap Washington atau menghidupkan semula "Instrumen Antipaksaan."

Menyifatkan tarif itu sebagai "tidak boleh diterima," pejabat Presiden Perancis Emmanuel Macron turut mengesahkan yang presiden akan meminta tindakan yang sama sekiranya Washington meneruskan ancaman mereka.

Selain negara yang disasarkan secara langsung, negara Eropah lain turut menyertai kritikan terhadap tindakan AS itu. Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni, yang berucap semasa lawatan ke Korea Selatan, menyifatkan ancaman tarif itu sebagai "satu kesilapan."

Pada Sabtu, Perdana Menteri Britain Keir Starmer berkata kedudukan Britain dalam isu Greenland adalah sangat jelas: "ia adalah sebahagian daripada Kerajaan Denmark dan masa depannya adalah urusan rakyat Greenland dan Denmark," sambil melabel ancaman AS itu sebagai "sangat tidak wajar."

Menteri Luar Ireland Helen McEntee menekankan prinsip asas Piagam PBB. "Tiada keamanan dan keselamatan yang berkekalan di dunia jika prinsip ini diabaikan dan digugat," katanya.

Penentangan bersatu Eropah ini membuka ruang kepada kemungkinan peningkatan konflik. Dengan gesaan untuk mengaktifkan "bazuka’ ekonomi EU dan amaran berulang terhadap tindakan ugutan, Eropah memberi isyarat kesediaan luar biasa untuk berdepan kemungkinan konfrontasi ekonomi "saling membalas" demi kedaulatan Greenland.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan