DUNIA > BERITA

Trafik Udara Greece Pulih Sebahagian Selepas Gangguan Di Seluruh Negara

05/01/2026 04:00 PM

ATHENS, 4 Jan (Bernama-Anadolu) -- Trafik udara di Greece pulih sebahagiannya pada petang Ahad selepas gangguan besar menjejaskan semua lapangan terbang di seluruh negara dan menghentikan penerbangan masuk serta keluar, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Punca gangguan itu masih belum dikenal pasti. Bagaimanapun, penyiar awam Greece, ERT, melaporkan bahawa satu sistem komunikasi alternatif telah digunakan, sekali gus membolehkan sebahagian penerbangan berlepas.

ERT menambah bahawa siasatan bersama secara menyeluruh sedang dijalankan dengan penyertaan pihak berkuasa penerbangan awam negara itu serta badan berkaitan lain.

Menurut penyiar berkenaan, setakat ini hanya kira-kira 35 penerbangan lintas ruang udara dibenarkan, manakala kebanyakan penerbangan ke dan dari Greece dilencongkan ke lapangan terbang di negara jiran, Turkiye.

Sementara itu, syarikat telekomunikasi utama Greece, OTE memaklumkan bahawa gangguan berkenaan bukan berpunca daripada kegagalan teknikal pada litar miliknya, sekali gus menyangkal laporan media sebelum ini yang mengaitkan masalah berkenaan dengan kerosakan litar.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan