DUNIA > BERITA

Australia Gesa Semua Pihak Sokong Dialog Di Venezuela

04/01/2026 08:55 PM

ISTANBUL, 4 Jan (Bernama-Anadolu) -- Australia pada Ahad menggesa “semua pihak yang berkaitan” supaya menyokong dialog dan diplomasi susulan operasi Amerika Syarikat (AS) terhadap Venezuela, lapor Anadolu Ajansi.

Perdana Menteri Australia Anthony Albanese berkata menerusi platform media sosial X bahawa kerajaan sedang “memantau perkembangan di Venezuela” susulan operasi oleh AS yang membawa kepada penangkapan Presiden Nicolas Maduro dan isterinya.

“Kami menggesa semua pihak supaya menyokong dialog dan diplomasi bagi menjamin kestabilan serantau serta mengelakkan ketegangan daripada memuncak,” kata Albanese.

“Kami terus menyokong undang-undang antarabangsa serta peralihan demokrasi yang aman di Venezuela yang mencerminkan kehendak rakyat Venezuela,” tambahnya.

Kementerian Luar Korea Selatan turut memaklumkan bahawa pihaknya sedang memantau rapat situasi di negara Amerika Selatan itu.

“Kerajaan kami menggesa semua pihak berkaitan supaya berusaha mengurangkan ketegangan di rantau berkenaan,” menurut kementerian itu, seperti dilaporkan Agensi Berita Yonhap.

“Kami berharap situasi di Venezuela akan stabil melalui dialog secepat mungkin, dengan pandangan rakyat Venezuela dihormati dan demokrasi dipulihkan.”

Kementerian itu menambah bahawa kerajaan sedang melaksanakan semua langkah perlu bagi melindungi keselamatan rakyat Korea Selatan di Venezuela.

Secara berasingan, Filipina turut menggesa “pihak-pihak berkaitan” supaya mengelakkan tindakan yang boleh meningkatkan lagi ketegangan.

“Filipina sedang memantau rapi situasi yang terus berkembang di Venezuela,” kata jurucakap Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina, Angelica Escalona.

“Filipina menggesa pihak yang berkaitan supaya menyelesaikan pertikaian melalui cara yang aman serta menahan diri bagi mengelakkan peningkatan konflik,” katanya, menurut Agensi Berita Filipina.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan