SEOUL, 30 Dis (Bernama-Yonhap) -- Badan pengawas keselamatan nuklear Korea Selatan pada Selasa meluluskan operasi reaktor Saeul-3, dengan pelancarannya secara komersial dijadualkan tahun depan, lapor Agensi Berita Yonhap.
Suruhanjaya Keselamatan Nuklear membuat keputusan itu selepas mengadakan mesyuarat bagi mempertimbangkan kelulusan operasi reaktor Saeul-3, sebuah reaktor APR1400 buatan tempatan yang terletak di Kompleks Tenaga Nuklear Saeul di bandar pelabuhan tenggara Ulsan.
Keputusan itu dibuat kira-kira dua minggu selepas suruhanjaya berkenaan menangguhkan keputusan muktamadnya pada mesyuarat awal.
Susulan kelulusan tersebut, unit berkenaan, yang pembinaannya bermula pada 2016, akan menjalani operasi percubaan selama enam bulan akan datang.
Saeul-3 merupakan reaktor nuklear pertama Korea Selatan yang direka untuk menahan serangan pesawat, dengan dinding setebal 137 sentimeter, iaitu 15 sentimeter lebih tebal berbanding reaktor terdahulu.
Reaktor itu turut mempunyai kapasiti penyimpanan bahan api nuklear terpakai sehingga 60 tahun, mencukupi untuk menyimpan keseluruhan jumlah bahan api yang dihasilkan sepanjang tempoh hayat reka bentuknya.
Unit tersebut sebelum ini dikenali sebagai Kori-5 sebelum dinamakan semula sebagai Saeul-3 pada 2022.
-- BERNAMA-YONHAP
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial