DUNIA > BERITA

Ribut Ragut 4 Nyawa, Kerosakan Meluas Di Seluruh California

26/12/2025 09:55 AM

LOS ANGELES, 26 Dis (Bernama-Xinhua) -- Sekurang-kurangnya empat orang maut akibat ribut yang turut menyebabkan kerosakan meluas di seluruh negeri California, Amerika Syarikat, sepanjang minggu cuti Krismas, lapor Xinhua.

Gabenor Gavin Newsom pada malam Krismas mengisytiharkan darurat di enam daerah iaitu Los Angeles, Orange, Riverside, San Bernardino, San Diego dan Shasta.

Pengisytiharan itu membolehkan kerajaan negeri menggerakkan lebih banyak sumber serta memohon bantuan persekutuan bagi menangani situasi berkenaan.

Jumlah korban meningkat kepada sekurang-kurangnya empat orang setakat Khamis selepas pihak berkuasa mengesahkan beberapa kematian di lokasi berasingan di seluruh negeri itu.

Di San Diego, sebatang pokok setinggi kira-kira 23 meter tumbang dan mengorbankan seorang lelaki berusia 64 tahun ketika mangsa sedang mengalihkan kenderaannya.

Di sepanjang pantai utara di Daerah Mendocino, seorang wanita berusia lingkungan 70-an dihanyutkan ombak besar ketika berada di Taman Negeri MacKerricher.

Satu lagi kematian dilaporkan di kawasan Redding apabila seorang pemandu terperangkap dalam kenderaannya yang dinaiki air pada Ahad.

Selain itu, seorang timbalan sheriff di Daerah Sacramento maut dalam kemalangan yang dikaitkan dengan keadaan cuaca buruk pada Rabu.

Gangguan elektrik menjejaskan kira-kira 140,000 pelanggan di seluruh negeri pada malam Rabu, susulan angin kencang serta pokok tumbang yang merosakkan sebahagian besar infrastruktur elektrik.

Pasukan utiliti kemudiannya berjaya memulihkan bekalan elektrik kepada ribuan penduduk, namun setakat petang Khamis, kira-kira 92,000 pelanggan di seluruh negeri masih terputus bekalan elektrik.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan