DUNIA > BERITA

Darurat Diisyihtiar Di Selatan California Susulan Ribut Musim Sejuk Yang Kuat

25/12/2025 05:43 PM

LOS ANGELES, 25 Dis (Bernama-Xinhua) -- Gabenor California Gavin Newsom pada Rabu mengisytiharkan darurat bagi beberapa kawasan di selatan California yang dilanda ribut pada musim cuti paling kuat dalam tempoh beberapa tahun, lapor Xinhua.

Perisytiharan darurat itu dikuatkuasakan di daerah Los Angeles, Orange, Riverside, San Bernardino, San Diego dan Shasta.

Beberapa jalan utama di seluruh selatan California ditutup akibat banjir atau aliran lumpur, manakala arahan pemindahan dikeluarkan bagi beberapa komuniti yang terjejas oleh cuaca buruk itu. Ribuan penduduk Los Angeles dilaporkan terputus bekalan elektrik ketika ribut melanda wilayah berkenaan.

“Siri fenomena sungai atmosfera telah membawa hujan berintensiti tinggi dan angin kencang ke seluruh negeri di kawasan tanah yang sudah tepu, sekali gus meningkatkan risiko banjir, tanah runtuh, aliran serpihan serta kenaikan paras anak sungai dan sungai dengan cepat,” kata gabenor dalam satu kenyataan media, sambil menambah bahawa kawasan yang baru terbakar di selatan California berdepan ancaman lebih tinggi kejadian aliran lumpur dan serpihan berikutan hujan lebat yang berterusan.

Datuk Bandar Los Angeles Karen Bass turut mengisytiharkan darurat tempatan bagi memastikan bandar itu mempunyai sumber mencukupi dalam beberapa hari akan datang.

Amaran meluas banjir mendadak turut dikeluarkan di seluruh selatan California. Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan Amerika Syarikat berkata amaran jarang berlaku iaitu “Risiko Tinggi” hujan lebat kekal berkuat kuasa hingga pagi Khamis, meliputi sebahagian besar selatan California termasuk kawasan metropolitan Los Angeles.

Selain itu, hujan lebat juga dijangka menyebabkan kejadian runtuhan batu dan aliran lumpur berbahaya di seluruh selatan California sehingga Hari Krismas, agensi itu memberi amaran.

“Ribut pertama sedang beralih keluar dari kawasan ini, namun satu lagi ribut dijangka tiba lewat malam ini dan berterusan sehingga Hari Krismas,” katanya pada Rabu. “Hujan dijangka beransur reda menjelang awal Sabtu, diikuti keadaan yang lebih kering dan panas.”

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan