DUNIA > BERITA

ASEAN Gesa Kemboja, Thailand Henti Permusuhan, Kembali Ke Meja Rundingan - Mohamad

23/12/2025 12:18 AM

Oleh Zarul Effendi Razali & Wan Muhammad Aslah Wan Razali

KUALA LUMPUR, 22 Dis (Bernama) -- Menteri-Menteri Luar ASEAN menggesa Kemboja dan Thailand supaya menahan diri semaksimum mungkin serta mengambil langkah segera bagi menghentikan semua bentuk permusuhan.

ASEAN turut menyeru kedua-dua pihak agar memulihkan kepercayaan bersama, kembali berdialog dan berusaha ke arah penyelesaian yang aman dan kekal berhubung situasi sempadan kedua-dua negara ketika ini.

Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan berkata seruan itu dibuat semasa Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN di sini, yang menggalakkan penggunaan mekanisme dua hala, khidmat nasihat Pengerusi ASEAN, pemulihan kerjasama dalam operasi pembersihan periuk api kemanusiaan, serta pelaksanaan pengurangan kehadiran tentera di sepanjang sempadan bersama di bawah pemerhatian Pasukan Pemerhati ASEAN (AOT).

"Mesyuarat itu menegaskan semula komitmen bersama untuk mengelakkan ancaman atau penggunaan kekerasan, penyelesaian pertikaian secara aman, serta menghormati sempadan dan undang-undang antarabangsa bagi mempromosikan keamanan, keselamatan, kestabilan dan kemakmuran di rantau ini," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat itu pada Isnin.

Mohamad mempengerusikan mesyuarat berkenaan atas kapasiti Malaysia selaku Pengerusi ASEAN

Beliau berkata Menteri-Menteri Luar ASEAN juga mengalu-alukan perbincangan mengenai penyambungan semula gencatan senjata dan penghentian permusuhan, sambil menyatakan bahawa Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) seterusnya akan bersidang pada 24 Disember bagi membincangkan pelaksanaan serta pengesahan gencatan senjata itu.

"Menteri-Menteri Luar ASEAN menzahirkan harapan agar permusuhan dapat dikurangkan secepat mungkin dan akan terus memantau perkara ini dengan rapi," katanya.

Mesyuarat khas yang berlangsung di Kuala Lumpur itu diadakan susulan keputusan yang dicapai oleh Perdana Menteri Malaysia, Kemboja dan Thailand pada 11 Disember, di tengah-tengah ketegangan yang berterusan di sepanjang sempadan Kemboja-Thailand.

Mohamad berkata Malaysia telah memberi taklimat mengenai usaha yang dijalankan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN bagi menggalakkan kedua-dua pihak menghentikan permusuhan, manakala AOT turut membentangkan penilaian berdasarkan mandat mereka. Kemboja dan Thailand juga berkongsi pendirian masing-masing dalam mesyuarat itu.

Mesyuarat itu turut menghargai penglibatan berterusan oleh Anwar dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, dengan penyertaan aktif negara anggota ASEAN dan China dalam mempromosikan penyelesaian aman bagi situasi berkenaan.

Menteri-Menteri Luar ASEAN juga menyambut baik kesediaan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul untuk terus berhubung dengan Pengerusi ASEAN bagi meredakan ketegangan serta mengelakkan salah faham yang boleh memburukkan lagi keadaan.

Mohamad berkata mesyuarat itu menyatakan kebimbangan serius terhadap ketegangan dan permusuhan berterusan yang mengakibatkan kecederaan besar, kerosakan infrastruktur awam dan perpindahan penduduk di kedua-dua belah sempadan.

"(Menteri-menteri ASEAN) menyeru kedua-dua pihak memastikan orang awam yang tinggal di kawasan sempadan dan terjejas dapat pulang ke rumah dan menerusi kehidupan normal seperti sebelum tercetusnya permusuhan, tanpa sebarang halangan serta dalam keadaan selamat dan bermaruah," katanya.

Mesyuarat itu mengulangi perpaduan dan solidariti ASEAN, serta Kepusatan ASEAN  dalam memastikan keamanan, keselamatan, kestabilan dan kemakmuran serantau mengikut Piagam ASEAN.

Selain itu, mesyuarat berkenaan merujuk kembali pengaturan gencatan senjata pada 28 Julai, keputusan Mesyuarat Luar Biasa  Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) pada 7 Ogos dan Deklarasi Bersama Kuala Lumpur yang ditandatangani pada 26 Oktober, sambil menggesa Kemboja serta Thailand melaksanakan komitmen itu sepenuhnya secara efektif.

Mesyuarat yang berlangsung selama lebih dua jam itu dihadiri oleh menteri-menteri luar dan pegawai dari negara anggota serta Sekretariat ASEAN, termasuk Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan