DUNIA > BERITA

Mesyuarat Khas Menteri Luar ASEAN Mengenai Isu Kemboja-Thailand Hari Ini

22/12/2025 11:36 AM

KUALA LUMPUR, 22 Dis (Bernama) -- Menteri-menteri luar dan pegawai dari Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) akan berhimpun di ibu negara Malaysia pada tengah hari Isnin bagi menghadiri mesyuarat khas untuk membincangkan situasi semasa antara Kemboja dan Thailand.

Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM), yang akan dipengerusikan oleh Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan, dijangka dihadiri seramai 23 menteri luar dan pegawai, termasuk Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Kemboja Prak Sokhonn akan menghadiri mesyuarat itu, menurut pengesahan Kementerian Luar negara berkenaan pada Ahad dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook.

Jumaat lalu, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Kementerian Luar Thailand, Nikorndej Balankura turut mengesahkan bahawa Menteri Luar negara itu Sihasak Phuangketkeow akan menghadiri mesyuarat berkenaan.

Menteri-menteri luar lain yang dijangka hadir ialah Sugiono dari Indonesia, Thongsavanh Phomvihane (Laos), Dr Vivian Balakrishnan (Singapura), Bendito dos Santos Freitas (Timor-Leste) serta Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina Theresa P. Lazaro.

Brunei dijangka diwakili oleh Menteri Kedua Hal Ehwal Luar Negeri Dato Seri Setia Erywan Pehin Datu Pekerma Jaya Mohd Yusof, manakala Vietnam dijangka menghantar Timbalan Menteri Luar Dang Hoang Giang. Pegawai Myanmar pula dijangka menyertai mesyuarat itu secara maya.

Kementerian Luar Malaysia yang juga dikenali sebagai Wisma Putra dalam satu kenyataan pada Ahad memaklumkan bahawa mesyuarat khas itu diadakan selaras dengan keputusan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim, Kemboja dan Thailand pada 11 Disember lalu.

Menurut Wisma Putra, mesyuarat berkenaan akan memberikan satu wadah kepada Menteri-Menteri Luar ASEAN untuk bertukar pandangan mengenai situasi semasa antara Kemboja dan Thailand, serta mempertimbangkan langkah-langkah yang boleh diambil oleh ASEAN bagi menyokong usaha berterusan untuk meredakan ketegangan dan menghentikan permusuhan, demi keamanan dan kestabilan antara kedua-dua negara anggota ASEAN itu serta rantau ini secara keseluruhan.

Wisma Putra berkata penganjuran Mesyuarat Khas terbabit mencerminkan komitmen terhadap perpaduan dan solidariti ASEAN, serta pematuhan kepada Kepusatan ASEAN dalam memastikan keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau, selaras dengan Piagam ASEAN dan Triti Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (Treaty of Amity and Cooperation in Southeast Asia - TAC).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan