MEXICO CITY, 7 Nov (Bernama-Sputnik/RIA Novosti) -- Kongres Peru mengundi untuk mengisytiharkan Presiden Mexico Claudia Sheinbaum sebagai persona non grata selepas mendakwa beliau mencampuri urusan dalaman negara itu, lapor Sputnik/RIA Novosti.
“Kongres Republik meluluskan pengisytiharan Presiden Mexico Claudia Sheinbaum sebagai persona non grata kerana campur tangan beliau yang tidak boleh diterima dalam urusan dalaman Peru,” menurut kenyataan parlimen itu di platform X.
Hubungan antara kedua-dua negara kembali tegang baru-baru ini selepas pihak berkuasa Mexico memberi suaka politik kepada bekas Perdana Menteri Peru, Betssy Chavez, yang didakwa cuba melakukan rampasan kuasa pada 2022.
Sebagai tindak balas, Kerajaan Peru pada 3 Nov mengumumkan pemutusan hubungan diplomatik dengan Mexico City dan mengarahkan Kuasa Usaha Mexico Karla Ornelas, meninggalkan negara itu.
Kerajaan Mexico pula menyatakan rasa kesal yang mendalam dan membantah keras keputusan Peru, sambil menegaskan bahawa pemberian suaka adalah selaras sepenuhnya dengan undang-undang antarabangsa dan tidak boleh dianggap sebagai tindakan tidak menyenangkan.
Hubungan kedua-dua negara itu mula merosot pada 2023 selepas Presiden Peru Pedro Castillo ketika itu digulingkan melalui proses pemecatan.
Ketika itu, Mexico enggan menyerahkan jawatan Presiden Perikatan Pasifik kepada pengganti Castillo, Dina Boluarte, dengan alasan kerajaan beliau tidak sah.
Sebagai tindak balas, Kongres Peru turut mengisytiharkan Presiden Mexico Andres Manuel Lopez Obrador ketika itu, sebagai persona non grata.
--BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial