DUNIA > BERITA

Sudan Sanjung Peranan Malaysia Dalam Keamanan Dan Pembinaan Semula

05/11/2025 05:42 PM

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Sudan menyanjung Malaysia sebagai rakan kepercayaan dan suara utama dalam memperjuangkan keamanan sejagat, sambil memuji pendirian tegas negara ini terhadap serangan berterusan oleh Pasukan Sokongan Pantas (RSF).

Duta Besar Sudan ke Malaysia, Hassan Abdelsalam Omer, berkata negaranya turut melihat Malaysia sebagai rakan strategik dalam usaha pembinaan semula selepas konflik apabila kestabilan berjaya dipulihkan.

Beliau berkata Sudan menghargai pendirian berprinsip Malaysia terhadap kekejaman RSF dan menganggap Kuala Lumpur sebagai negara yang sentiasa menunjukkan empati, solidariti serta kepimpinan dalam mempertahankan orang awam Sudan.

“Malaysia ialah negara peneraju dalam Ummah Islam dan kami benar-benar berharap Malaysia dapat memainkan peranan yang lebih besar.

“Kami sentiasa melihat Malaysia sebagai rakan strategik dalam usaha membangunkan semula negara apabila keadaan kembali pulih. Saya amat terharu dengan simpati dan sokongan besar yang kami terima sejak beberapa hari lalu daripada kerajaan Malaysia, rakyat serta pertubuhan kemanusiaan,” katanya pada sidang akhbar di kedutaan itu di sini pada Rabu.

Beliau turut memuji Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan atas pendirian tegas mereka dalam mengecam RSF dan menyeru supaya pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.

“Kami berharap Malaysia dapat memainkan peranan dalam usaha membawa penjenayah dan pelaku kekejaman ini ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ),” katanya.

Bagi menunjukkan sokongan global terhadap penentangan pembunuhan beramai-ramai di Sudan, beliau berkata komuniti Sudan dan penyokong mereka telah mengadakan perhimpunan di Perancis, Kanada, Amerika Syarikat dan Mesir.

Menurut laporan media, RSF menawan bandar El Fasher pada 26 Okt dan melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap orang awam, menurut organisasi tempatan dan antarabangsa, sekali gus mencetuskan amaran bahawa pengambilalihan itu boleh mengukuhkan pembahagian geografi di negara yang dilanda perang tersebut.

Sejak 15 April 2023, tentera Sudan dan RSF terlibat dalam pertempuran yang gagal ditamatkan melalui pelbagai usaha pengantaraan serantau dan antarabangsa. Konflik itu telah meragut ribuan nyawa dan menyebabkan jutaan penduduk kehilangan tempat tinggal.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Sudan kini menjadi lokasi krisis kemanusiaan dan perpindahan terbesar di dunia dengan kira-kira 14 juta orang hilang tempat tinggal daripada jumlah penduduk 51 juta.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan