ISTANBUL, 3 Nov (Bernama-Anadolu) -- Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan pada Isnin mengecam pembunuhan beramai-ramai di El-Fasher, Sudan, sambil menegaskan bahawa keutuhan wilayah dan kedaulatan negara Afrika itu perlu dipertahankan, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“Tiada insan berhati nurani boleh menerima pembunuhan terhadap orang awam di El-Fasher, Sudan, sejak beberapa hari kebelakangan ini. Kita tidak boleh berdiam diri terhadap perkara ini,” kata Erdogan dalam ucapan pembukaan sesi ke-41 Jawatankuasa Tetap bagi Kerjasama Ekonomi dan Komersial (COMCEC) Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Istanbul.
Beliau menegaskan bahawa keutuhan wilayah, kedaulatan dan kemerdekaan Sudan perlu dipelihara serta penting untuk berdiri bersama rakyat Sudan.
Menyentuh mengenai perang di Gaza, pemimpin Turkiye itu berkata kumpulan Palestin Hamas dilihat sangat bertekad untuk mematuhi perjanjian gencatan senjata, manakala Israel mempunyai rekod yang amat buruk.
Menurutnya, Israel telah membunuh lebih 200 orang tidak bersalah sejak perjanjian gencatan senjata Gaza dikuatkuasakan, dan masih belum menghentikan penjajahan serta serangan di Tebing Barat.
“Kita tidak boleh membenarkan sebarang usaha untuk menakluk Tebing Barat, mengubah status Baitulmaqdis atau mencemari kesucian Masjid Al-Aqsa,” kata Erdogan.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial