DUNIA > BERITA

Setiausaha Perang AS Bincang Isu Laut China Selatan Dengan Menteri Pertahanan China

31/10/2025 10:25 PM

MOSCOW, 31 Okt (Bernama-Sputnik/RIA Novosti) -- Setiausaha Perang Amerika Syarikat (AS) Pete Hegseth menyuarakan kebimbangan Washington terhadap tindakan China di Laut China Selatan semasa pertemuannya dengan Menteri Pertahanan China Dong Jun, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Hegseth berkata pertemuan yang diadakan di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN di Malaysia baru-baru ini berlangsung dengan baik dan membina.

“Saya menekankan kepentingan mengekalkan keseimbangan kuasa di Indo-Pasifik dan menegaskan kebimbangan AS terhadap aktiviti China di Laut China Selatan, sekitar Taiwan, serta terhadap sekutu dan rakan kongsi AS di rantau Indo-Pasifik,” kata Hegseth di platform X.

Beliau berkata AS tidak mencari konflik dan akan terus mempertahan kepentingannya di rantau itu dengan tegas.

Taiwan ditadbir secara berasingan daripada tanah besar China sejak 1949. Beijing menganggap pulau itu sebagai wilayahnya, manakala Taiwan yang mempunyai kerajaan sendiri yang dipilih secara demokratik menegaskan yang ia adalah negara autonomi, walaupun tidak secara rasmi mengisytiharkan kemerdekaan. Beijing menentang sebarang hubungan rasmi antara negara asing dengan Taipei dan menganggap kedaulatannya terhadap pulau itu sebagai tidak boleh dipersoalkan.

Ketegangan sekitar Taiwan meningkat pada Ogos 2022 apabila Speaker Dewan Perwakilan AS ketika itu, Nancy Pelosi, melawat pulau itu. Beijing mengecam lawatan Pelosi itu, menyifatkannya sebagai lambang sokongan AS terhadap fahaman pemisahan Taiwan dan bertindak melancarkan latihan ketenteraan besar-besaran di sekitar  Taiwan.

--BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan