DUNIA > BERITA

PM Jepun Takaichi, Presiden Xi Adakan Pertemuan Sulung Sempena APEC

31/10/2025 09:33 PM

GYEONGJU (Korea Selatan), 31 Okt (Bernama-Kyodo) -- Kerajaan Jepun mengesahkan bahawa Perdana Menterinya Sanae Takaichi dan Presiden China Xi Jinping mengadakan pertemuan rasmi pertama mereka pada petang Jumaat di Korea Selatan, lapor Agensi Berita Kyodo.

Pertemuan dua hala itu yang pertama sejak Takaichi mengangkat sumpah sebagai perdana menteri minggu lalu berlangsung di luar Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Gyeongju.

Kedua-dua pemimpin dijangka mengesahkan dasar negara untuk memajukan “hubungan strategik dan saling menguntungkan” serta membina hubungan yang “konstruktif dan stabil.”

Pertemuan itu diadakan ketika Beijing dilihat berhati-hati terhadap Takaichi, yang dikenali sebagai tokoh politik berpendirian tegas terhadap China.

Awal hari yang sama, Takaichi memuat naik gambar dirinya bersama Xi di platform media sosialnya, X sebelum sidang APEC bermula. 

Dalam perbincangan itu, Takaichi yang dikenali sebagai tokoh konservatif dijangka menyuarakan kebimbangan mengenai peningkatan aktiviti kapal China berhampiran Kepulauan Senkaku, selain menegaskan kepentingan keamanan dan kestabilan di Selat Taiwan, menurut sumber kerajaan Jepun.

Pemimpin baharu Jepun itu juga mungkin membangkitkan isu pembebasan awal beberapa rakyat Jepun yang ditahan di China atas dakwaan pengintipan, menurut sumber. 

-- BERNAMA-KYODO

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan