JAKARTA, 17 Okt (Bernama-ANTARA) -- Kementerian Pelancongan Indonesia bersama Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) bekerjasama bagi memperkasa pelancongan halal dengan meluaskan pensijilan halal bagi produk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di 1,500 kampung pelancongan.
“Langkah ini adalah pencapaian penting dalam memperkukuh kedudukan Indonesia sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim utama di dunia serta memberi nilai tambah kepada komuniti setempat,” kata Menteri Pelancongan Widiyanti Putri Wardhana dalam satu kenyataan yang disahkan pada Jumaat, lapor agensi berita ANTARA.
Semasa lawatannya ke Kampung Pelancongan Pulau Penyengat, Kepulauan Riau pada Khamis, beliau memaklumkan yang program pensijilan halal mula dilaksanakan sejak Julai 2025, dengan projek perintis dijalankan di 20 kampung pelancongan, termasuk Pulau Penyengat.
Sehingga 15 Oktober 2025, sebanyak 438 produk PMKS memperoleh sijil halal di bawah inisiatif ini. Khusus di Pulau Penyengat, 24 produk PMKS mendapat sijil halal.
“Pulau Penyengat amat sesuai dipilih sebagai lokasi simbolik untuk menegaskan komitmen kami dalam memperkasa pelancongan halal,” katanya.
Ketua BPJPH Haikal Hasan berkata pelancongan halal kini menjadi pemangkin ekonomi baharu yang berkembang pesat dan menjadi simbol kesihatan, kualiti serta ketelusan, justeru memerlukan pengoptimuman pasaran halal Indonesia.
Beliau turut menyatakan yang Presiden Prabowo Subianto kini giat memacu program pensijilan halal percuma untuk satu juta PMKS bagi memudahkan dan mempercepat proses mendapatkan sijil halal secara telus.
Gabenor Kepulauan Riau Ansar Ahmad turut menzahirkan penghargaan atas sokongan Kementerian Pelancongan dan BPJPH dalam membangunkan ekosistem pelancongan halal di rantau itu.
“Kami percaya industri halal, khususnya dalam sektor makanan, menjadi salah satu ikon utama dalam ekonomi global. Produk halal dicirikan oleh piawaian kesihatan dan kualiti yang tinggi,” katanya.
Kampung pelancongan ialah kampung yang mempunyai potensi tarikan pelancongan, dibangunkan dan diuruskan oleh komuniti setempat. Menurut data Kementerian Pelancongan, terdapat sekurang-kurangnya 6,155 kampung pelancongan di seluruh Indonesia.
BERNAMA-ANTARA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial