DUNIA > BERITA

Patrick Kluivert Tinggalkan Pasukan Nasional Indonesia

16/10/2025 03:59 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 16 Okt (Bernama) -- Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI) secara persetujuan bersama menamatkan kontrak ketua jurulatih pasukan kebangsaan Patrick Kluivert dan barisan kejurulatihannya, susulan kegagalan Skuad Garuda mara dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2026.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, PSSI berkata keputusan itu merupakan sebahagian daripada langkah penilaian semula strategi pembangunan bola sepak Indonesia serta hala tuju masa depan skuad kebangsaan.

Bekas penyerang antarabangsa Belanda dan Barcelona itu, yang menandatangani kontrak dua tahun pada Januari bagi menggantikan jurulatih dari Korea Selatan Shin Tae-yong, akan berundur bersama pasukan kejurulatihannya sekali gus menamatkan khidmat mereka bersama skuad senior, bawah 23 tahun dan bawah 20 tahun Indonesia.

Pengerusi PSSI yang juga Menteri Belia dan Sukan, Erick Thohir dalam kenyataan berasingan mengucapkan terima kasih kepada Kluivert dan barisan kejurulatihannya atas sumbangan mereka, menyifatkan mereka sebagai sebahagian penting dalam kemajuan terkini pasukan kebangsaan.

“Penghargaan kami juga ditujukan kepada penyokong, pemain, keluarga mereka serta pegawai yang menunjukkan sokongan tidak berbelah bahagi, membantu pasukan kebangsaan mara ke pusingan keempat kelayakan Piala Dunia 2026, satu pencapaian bersejarah bagi bola sepak Indonesia,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa PSSI akan melaksanakan penilaian menyeluruh dan menetapkan matlamat baharu untuk skuad kebangsaan, termasuk menembusi kelompok 100 terbaik dunia FIFA, layak ke Piala Asia 2027 serta mara ke Piala Dunia 2030.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan