Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 12 Okt (Bernama) -- Indonesia mencatatkan jumlah bencana alam yang lebih rendah pada September 2025 berbanding tempoh sama tahun lalu, namun angka korban meningkat didorong oleh kejadian banjir di pulau peranginan Bali, menurut agensi bencana negara itu.
Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) dalam laporan bulanan terbaharunya merekodkan 176 kejadian bencana di seluruh Indonesia — penurunan sebanyak 46 peratus berbanding 327 kejadian pada September 2024.
“Namun, seramai 34 orang dilaporkan maut manakala 13 lagi hilang, meningkat berbanding jumlah keseluruhan 29 kematian dan kehilangan tahun sebelumnya,” menurut kenyataan agensi berkenaan.
Data itu dikumpul oleh Bahagian Data dan Sistem Informasi (PDSI) BNPB, bersumberkan Pusat Kawalan Operasi Pengurusan Bencana (Pusdalops PB).
Tragedi terburuk berlaku di wilayah Bali pada 9 Sept apabila hujan lebat berterusan menyebabkan banjir besar yang meragut 18 nyawa dan menyebabkan empat orang lagi hilang.
Kes turut dilaporkan di Kabupaten Nagekeo, Nusa Tenggara Timur iaitu enam maut akibat banjir kilat serta di Ogan Komering Ulu Selatan, Sumatera Selatan dengan dua kematian.
BNPB memaklumkan bahawa bencana hidrometeorologi seperti banjir, tanah runtuh, cuaca ekstrem dan kebakaran hutan mendominasi insiden bencana, merangkumi lebih 96 peratus daripada keseluruhan kejadian.
Walaupun jumlah keseluruhan bencana menurun, insiden banjir dan tanah runtuh meningkat, manakala kebakaran hutan menurun secara ketara daripada 185 kejadian tahun lalu kepada hanya 59 tahun ini.
Sepanjang September, bencana yang berlaku menyebabkan lebih 148,000 orang kehilangan tempat tinggal, 49 cedera, serta merosakkan 3,717 rumah — kebanyakannya akibat banjir.
Selain itu, sebanyak 16,000 rumah turut dinaiki air, di samping kerosakan terhadap kemudahan awam, sekolah, rumah ibadat dan jambatan.
Lima wilayah yang mencatatkan jumlah bencana tertinggi bulan lalu ialah Jawa Tengah, Jawa Timur, Kalimantan Tengah, Aceh dan Sumatera Utara.
BNPB turut memberi amaran mengenai peningkatan risiko bencana pada Oktober 2025, dengan menyatakan bahawa berdasarkan trend sedekad lalu, Oktober merupakan antara bulan paling terdedah kepada bencana di Indonesia.
Data menunjukkan kekerapan bencana meningkat mendadak pada Oktober, dengan purata melebihi 400 kejadian sebulan antara 2020 hingga 2023, khususnya melibatkan banjir dan cuaca ekstrem.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial